fb fb fb fb fb

APAD batal, gantung lesen syarikat bas persiaran terlibat nahas Genting Highlands

FOTO IPD BENTONG

PUTRAJAYA, 1 Julai- Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) hari ini memaklumkan, syarikat bas persiaran yang terlibat kemalangan ketika dalam perjalanan turun dari Genting Highlands pada Sabtu lepas kemungkinan berdepan hukuman penggantungan atau pembatalan lesen bawah Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 (Akta 715), jika didapati bersalah.

Agensi itu menerusi satu kenyataan memberitahu, semakan awal mendapati bas persiaran itu dilesenkan bawah syarikat M. Kumar Trans Tour Sdn. Bhd.

APAD sedang bekerjasama dengan agensi terlibat bagi mendapatkan laporan lengkap.

“Tindakan awal juga telah dibuat dengan memanjangkan Surat Tunjuk Sebab (STS) kepada pihak syarikat bagi mendapatkan penjelasan mengenai kejadian.

“Sekiranya hasil siasatan dan laporan yang diterima mendapati berlaku sebarang perlanggaran syarat lesen perkhidmatan oleh pihak syarikat, APAD boleh mengambil tindakan tegas sama ada penggantungan atau pembatalan lesen bawah Seksyen 45 Akta 715,” menurut APAD.

APAD turut menegaskan, tiada kompromi terhadap kesalahan melibatkan pengangkutan awam darat yang dipandu secara berbahaya sehingga mengakibatkan kemalangan.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE