KUALA LUMPUR, 24 Mei - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengucapkan tahniah kepada kerajaan Ireland, Norway dan Sepanyol yang mengiktiraf hak Palestin.
Anwar berkata, negara berkenaan berada di landasan sejarah yang tepat serta berdiri tegak dalam jalur kemanusiaan dan prinsip keadilan.
Pengiktrafan itu bukti Ireland, Norway dan Sepanyol memperaku hak rakyat Palestin kepada prinsip kedaulatan, maruah dalam menentukan nasib serta masa depan mereka sendiri.
"Kepada negara-negara lain yang belum berbuat demikian, fahami fakta ini: bahawa dunia semakin celik kepada aspirasi dan perjuangan warga Palestin.
“Usaha mereka dalam mencari dan menjelmakan keadilan tidak mampu tertahankan lagi. Ayuh bersama di garis ini dalam mengemudi sejarah lantas memungkinkan perubahan yang bermakna buat rakyat Palestin," katanya menerusi hantaran di Facebook.
Detik bersejarah tersebut menggerakkan dunia untuk lebih cepat mencapai dan memperteguhkan keamanan di benua Asia Barat.