fb fb fb fb fb

Anwar tinjau persiapan akhir Belanjawan 2025

Datuk Seri Anwar Ibrahim bergambar dengan pengurusan tertinggi setiap kumpulan terlibat dalam penyediaan Belanjawan 2025 di lobi utama Kementerian Kewangan

PUTRAJAYA, 17 Oktober- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim meluangkan masa hampir 30 minit di ruang operasi 'Belanjawan 2025'  bagi meninjau persiapan terakhir tersebut di Kementerian Kewangan, di sini.

Beliau yang juga Menteri Kewangan tiba pada pukul 9.40 pagi tadi, disambut Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan; Timbalan Menteri Kewangan Lim Hui Ying, dan Ketua Setiausaha Perbendaharaan Datuk Johan Mahmood Merican.

Seramai 213 individu terlibat dalam penyediaan Belanjawan 2025, terdiri daripada Pasukan Cukai; Pasukan Fiskal dan Ekonomi; Pasukan Pejabat Belanjawan Negara; Pasukan Belanjawan 2025; Pasukan Infografik Belanjawan 2025; Pasukan Terjemahan Belanjawan 2025; Gear-up dan Pasukan Portal Manfaat.

Anwar turut memasukan dokumen rasmi ke dalam beg Songket Kelantan berwarna hitam untuk dibentangkan pukul 4.00 petang esok di Parlimen.

Beliau juga turut bergambar dengan pengurusan tertinggi setiap kumpulan terlibat dalam penyediaan Belanjawan 2025 di lobi utama Kementerian Kewangan.

'Belanjawan 2025' bertemakan Ekonomi Madani, Negara Makmur, Rakyat Sejahtera merupakan belanjawan ketiga oleh kerajaan MADANI dan yang terakhir bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (2021-2025) sebelum beralih kepada Rancangan Malaysia Ke-13 untuk tempoh lima tahun akan datang.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI