fb fb fb fb fb

Anwar tidak peduli kecaman, sindiran

Anwar Ibrahim / Foto BERNAMA

PERAK, 27 Oktober- Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak mengambil peduli kecaman dan sindiran berhubung keputusannya untuk tidak mengambil gaji sebagai Perdana Menteri.

Ini termasuk sindiran terhadap penggunaan istilah seperti ketimbang, yang sering dijadikan bahan sindiran oleh beberapa pihak selepas pembentangan Belanjawan 2025 lalu.

Katanya, isu tersebut tidak perlu diperbesar-besarkan kerana setiap pemimpin yang dipilih seharusnya mempunyai penguasaan bahasa yang luas.

"Saya tidak mengecam atau memaki orang. Saya pakai songkok senget sikit pun dia marah, pakai baju Melayu dan capal pun dikritik. Bila saya guna istilah baharu seperti ketimbang, dia tidak faham.

"Sebagai pemimpin, kita harus meningkatkan penguasaan bahasa. Dulu tiada perkataan alaf, saya gunakan. Dahulu tiada perkataan mampan, saya gunakan," katanya ketika berucap pada Majlis Ramah Mesra Bersama Masyarakat Padang Rengas, di sini.

Sebagai Perdana Menteri, beliau mahu memberi tumpuan penuh kepada pembangunan negara serta mengurangkan kemiskinan rakyat, berbanding melayani isu sindiran.

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM