RIYADH, 28 April- Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tiba di Riyadh dalam rangka lawatan kerja tiga hari, bagi menghadiri Mesyuarat Khas Forum Ekonomi Sedunia (WEF).
Pesawat khas yang membawa Perdana Menteri mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Raja Khalid, pada kira-kira 10.25 malam Sabtu waktu tempatan atau 3.25 pagi Ahad waktu Malaysia.
Ketibaan Datuk Seri Anwar serta delegasi Malaysia disambut Naib Menteri Luar Arab Saudi, Waleed A. Elkhereiji bersama-sama Menteri Luar Malaysia, Datuk Seri Mohamad Hasan dan Duta Besar Malaysia ke Arab Saudi Datuk Wan Zaidi Wan Abdullah.
Mesyuarat khas WEF 2024 Riyadh berlangsung selama dua hari bermula Ahad, bertemakan 'Kerjasama Global, Pertumbuhan dan Tenaga untuk Pembangunan.
Selain menghadiri WEF 2024, kehadiran Perdana Menteri juga bagi memenuhi undangan khas oleh Putera Mahkota merangkap Perdana Menteri Arab Saudi, Putera Mohammed bin Salman.
Jemputan peribadi itu manifestasi keakraban kedua-dua pemimpin yang memangkin perubahan ketara dalam hubungan Malaysia dengan Arab Saudi.
Perdana Menteri turut dijadualkan menyertai Dialog Strategi Serantau Bersama mengenai ASEAN-Majlis Kerjasama Teluk (GCC) yang diadakan khusus untuk mengetengahkan peranan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN pada 2025 dan Perdana Menteri akan menyampaikan ucaptama dalam sesi itu.
Anwar yang juga Menteri Kewangan akan menghadiri program Dialog Strategi Negara dan beliau dijangka berinteraksi dengan pemimpin industri dunia bagi mengetengahkan peluang ekonomi yang boleh dimanfaatkan di Malaysia.
Di luar mesyuarat itu, Perdana Menteri dijadual mengadakan mesyuarat dua hala dengan beberapa pemimpin termasuk rakan sejawatnya dari Jordan iaitu Bisher Hani Al-Khasawneh dan Presiden Rwanda Paul Kagame.
Anwar juga akan menyertai ketua-ketua negara dan kerajaan pada Majlis Makan Malam Khas yang dihoskan oleh Putera Mahkota Arab Saudi Mohammed bin Salman
Lawatan kerja ini akan terus memperkukuh hubungan erat yang sudah terjalin sekian lama antara Malaysia dan Arab Saudi serta memperkasa silaturahim pemimpin kedua-dua negara.