fb fb fb fb fb

PM terima kunjungan hormat Dr Tawfiq Fawzan

Foto Facebook Anwar Ibrahim

KUALA LUMPUR, 27 Ogos - Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menerima kunjungan hormat Menteri Haji dan Umrah Arab Saudi Dr Tawfiq Fawzan Muhammed Al-Rabiah bersama-sama delegasi di Perdana Putra, di sini.

Lawatan Dr Tawfiq ke Malaysia bermula semalam hingga esok itu adalah bagi mengukuhkan lagi hubungan dua hala antara kerajaan Arab Saudi dan Malaysia.

Dalam kunjungan hormat itu perbincangan mereka seputar perkembangan dan penambahbaikan urusan rakyat Malaysia yang menunaikan ibadat haji dan umrah khususnya dengan kerjasama kerajaan Arab Saudi.

Beliau berkata perbincangan turut menyentuh usaha memperkukuhkan hubungan perniagaan antara Malaysia dan Arab Saudi, terutamanya dalam sektor industri penerbangan dan pendidikan tinggi.

"Saya juga menyambut baik penganjuran Expo Haji 2025 oleh Arab Saudi tidak lama lagi. Lembaga Tabung Haji (TH) turut dijemput dan diberi penghormatan berkongsi pengalaman mengurus dan melaksanakan operasi Haji Malaysia dalam acara ini kelak.

"Semoga pertemuan ini menjelmakan natijah yang baik khususnya buat jemaah haji dan umrah serta rakyat Malaysia secara umumnya, sekali gus mengukuhkan lagi hubungan persahabatan dan persaudaraan Malaysia dengan Arab Saudi," kata Anwar menerusi hantaran di Facebook.

Turut hadir ketika kunjungan hormat itu ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Mohd Na’im Mokhtar, Menteri Pengangkutan Anthony Loke dan Pengerusi TH Tan Sri Rashid Hussain.

 

TETITIA YUSOFF