fb fb fb fb fb

Anwar sifatkan hubungan dagangan Malaysia-Jerman aktif dan dinamik - Mohamad

Foto FB Anwar

PUTRAJAYA, 12 Januari- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menzahirkan rasa gembiranya dengan prestasi hubungan perdagangan antara Malaysia dan Jerman yang disifatkan sebagai aktif dan dinamik, kata Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan.

Perkara tersebut dizahirkan dalam perbincangan dua hala antara Anwar dan Menteri Luar Jerman Annalena Baerbock di Perdana Putra, di sini, hari ini.

Mohamad yang turut hadir dalam pertemuan berlangsung kira-kira sejam tersebut berkata Perdana Menteri amat gembira dengan kemajuan hubungan perdagangan antara kedua-dua negara itu, yang mana Malaysia merupakan rakan dagang utama Jerman dalam kalangan negara ASEAN dengan jumlah dagangan mencecah US$13 bilion.

“Setiap tahun menokok (dagangan) dan ini jelas menunjukkan hubungan perdagangan yang aktif dan dinamik," katanya kepada media selepas kunjungan hormat Baerbock kepada Anwar itu.

Jerman merupakan rakan dagang terbesar Malaysia dalam kalangan negara anggota Kesatuan Eropah (EU) sejak tahun 2000, manakala Malaysia merupakan rakan dagang terbesar Jerman dalam kalangan negara anggota ASEAN.

Perdagangan Malaysia dan Jerman meningkat sebanyak 7.2 peratus kepada RM58.37 bilion (US$12.81 bilion) dari tempoh Januari hingga November 2023 berbanding tempoh yang sama pada 2022.

Lawatan julung kali Baerbock ke Malaysia itu menyusul lawatan rasmi Presiden Jerman Frank-Walter Steinmeier ke Malaysia pada Februari 2023 yang bertujuan meningkatkan lagi hubungan diplomatik.

Mohamad berkata pelaburan syarikat Jerman ke Malaysia juga menunjukkan perkembangan positif dengan penyedia penyelesaian semikonduktor dari Jerman, Infineon, mengumumkan membuka operasi baharu di Kulim, Kedah baru-baru ini.

Menurutnya, semasa pertemuan itu, Anwar turut menyampaikan kepada Jerman bahawa Malaysia sebagai negara maritim dan berdagang mahu melihat Laut China Selatan menjadi laluan bebas dagangan.- BERNAMA

Artikel Berkaitan:
PM terima kunjungan Menteri Luar Jerman bincang perdagangan, isu keselamatan

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM