fb fb fb fb fb

Anwar sifatkan Erdogan pemimpin berani dalam isu Palestin

Presiden Erdoğan tiba di Malaysia hari ini untuk lawatan rasmi selama dua hari atas jemputan Perdana Menteri/Foto Anwar Ibrahim

PUTRAJAYA, 10 Februari - Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim memuji ketegasan Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan dalam memperjuangkan hak rakyat Palestin dan mempertahankan Islam daripada diskriminasi global, khususnya dalam menangani ancaman Islamofobia.

Anwar berkata, Erdogan adalah antara pemimpin dunia yang berani bersuara menentang kezaliman, meskipun ramai yang memilih untuk berdiam diri demi kepentingan politik masing-masing.

"Presiden Erdogan telah menunjukkan ketegasan moral dalam isu Palestin. Dalam dunia yang sering mengorbankan prinsip demi keselesaan, beliau tetap lantang menentang perampasan tanah, penjajahan dan pembunuhan beramai-ramai.

"Sokongan Turkiye bukan sekadar kata-kata, tetapi terbukti melalui tindakan diplomatik dan bantuan berterusan.

"Ketika negara lain masih ragu-ragu, beliau tetap teguh dengan pendiriannya," katanya ketika menyampaikan ucapan aluan pada Majlis Syarahan Umum Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan di sini, hari ini.

Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump baru-baru ini menyatakan bahawa "AS akan mengambil alih Semenanjung Gaza", tidak lama selepas mencadangkan penempatan semula secara tetap rakyat Palestin ke luar wilayah itu dengan alasan untuk membangunkan ekonomi.

Media antarabangsa turut melaporkan bahawa cadangan kontroversi Trump itu menerima kecaman meluas, dengan ramai pihak menyifatkannya sebagai "pembersihan etnik" dan "jenayah perang".

Jordan dan Mesir, bersama negara-negara serantau serta kuasa Eropah seperti United Kingdom, Perancis, Jerman, selain China, secara tegas menolak cadangan tersebut.

Menurut Anwar, keberanian Erdogan dalam mempertahankan umat Islam tidak hanya terbatas kepada isu Palestin, malah turut terserlah dalam menangani Islamofobia di peringkat antarabangsa.

"Dari sudut geopolitik, Presiden Erdogan telah membawa Turkiye ke hadapan sebagai kuasa global dan memainkan peranan sebagai perantara yang dipercayai dalam usaha damai di Asia Barat dan Eropah.

"Turkiye bukan sekadar bertindak balas terhadap peristiwa dunia, tetapi menjadi penentu hala tuju sejarah. Ini bukan kebetulan.

"Beliau memahami bahawa sejarah tidak berpihak kepada mereka yang lemah, tetapi kepada mereka yang berani," katanya.

Anwar juga menyifatkan persahabatannya dengan Erdogan sebagai hubungan yang terbina atas asas solidariti sejati dan kepercayaan, bukan kepentingan sementara.

"Ketika saya melalui saat sukar, beliau menghulurkan tangan ketika ramai yang berpaling.

"Sokongannya bukan sekadar formaliti, tetapi lambang persaudaraan sejati. Saya tidak pernah melupakannya, dan saya tidak akan melupakannya," katanya.

Dalam ucapan sama, Erdogan turut memuji pendirian teguh Malaysia dalam mempertahankan hak umat Islam dan memerangi Islamofobia yang semakin berleluasa di peringkat antarabangsa.

"Saya amat menghargai sokongan berterusan Malaysia terhadap Palestin serta pendirian tegas negara ini dalam menentang Islamofobia.

"Malaysia dan Turkiye berdiri dalam solidariti penuh untuk memastikan hak umat Islam tidak terus dipijak," katanya.

Beliau menegaskan bahawa dunia Islam harus lebih bersatu dalam membentuk sistem global yang lebih adil, kerana sistem sedia ada terbukti gagal melindungi hak umat Islam.

"Dunia tidak boleh dikawal hanya oleh segelintir kuasa besar yang menentukan siapa yang berhak mendapat keadilan. Kita memerlukan sistem dunia baharu yang lebih inklusif dan adil untuk semua," tambahnya.

Presiden Erdoğan tiba di Malaysia hari ini untuk lawatan rasmi selama dua hari atas jemputan Perdana Menteri.

Turkiye dan Malaysia juga menyasarkan untuk meningkatkan perdagangan sehingga AS$10 bilion (RM44.7 bilion), menjangkau dalam bidang teknologi semikonduktor kepada automotif serta daripada teknologi pesawat kepada simulator awam.

GRACE AISYAH KEDAYAN