KUALA LUMPUR, 1 Mac- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyeru umat Islam di Malaysia agar diberikan kekuatan amal dan meningkatkan ketakwaan dalam menghayati keberkatan bulan Ramadan.
Anwar menerusi hantaran di Facebook memaklumkan, Ramadan merupakan madrasah tarbiah ruhiyah dalam mendidik, menguji serta memurnikan setiap insan serta membentuk kekuatan dalaman umat
"Di saat dunia dirempuh kegelisahan materialisme dan kehampaan spiritual, cahaya Ramadan hadir sebagai penyuluh yang menerangi hati dan akal.
"Sebagaimana sabda Rasulullah SAW sesiapa yang mendirikan (menghidupkan) Ramadan, dengan penuh keimanan dan pengharapan, akan diampun segala dosanya yang lalu.
"Perjalanan kerohanian dalam Ramadan ini antara lain sebagai memaknai erti iman, taqwa dan pengharapan," menurut hantaran itu.
Anwar turut menekankan kepentingan mengangkat dimensi sosial, kemanusiaan serta menyeru masyarakat agar lebih prihatin terhadap golongan kurang bernasib baik khususnya mereka yang berdepan musibah di seluruh dunia.
"Sewaktu kita mempunyai kesempatan beribadah, ada saudara kita yang masih berlindung di bawah runtuhan batu dan terus menjadi mangsa peluru tidak bermata.
"Puasa tidak sekadar menahan nafsu lapar dan dahaga tetapi apa yang utama adalah menunduk keangkuhan, menyanggah kezaliman dan penindasan serta meredam ketamakan," katanya.
Menerusi hantaran itu beliau berkata ibadah puasa bukan sekadar menahan lapar dan dahaga, sebaliknya menuntut umat Islam menundukkan keangkuhan, menolak kezaliman dan penindasan serta mengawal ketamakan.
"Ia adalah latihan ketundukan, tidak hanya kepada syariat Allah SWT tetapi kepada hakikat bahawa kita makhluk yang lemah dan Tuhan itu Maha Segala," tambah hantaran itu.
Pada masa sama Perdana Menteri mengajak umat Islam menjauhi pembaziran dan berusaha kembali kepada tuntutan Allah SWT serta memohon keampunan.
"Lantas, mari bersama kita menyucikan hati dari kebencian dan membersihkan akal agar terbentuk insan yang lebih adil, lebih kuat ihsannya, lebih dekat kepada Tuhan serta sesama insan," menurut hantaran itu.