BERLIN, 15 Mac- Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengadakan perbincangan serta bertukar pandangan bersama-sama rakan pemikir dan sarjana Islam Eropah ketika di Berlin menerusi lawatan rasminya ke Jerman.
Memasuki hari keenam di Jerman hari ini, Anwar berkata beberapa perkara dibincangkan antaranya peranan sarjana dan cabaran baharu dengan kesemarakan Islamofobia di Eropah.
"Pada pertemuan itu, turut dibincangkan, langkah-langkah yang perlu diambil bagi menangani permasalahan isu berkenaan, terutamanya di barat.
"Rakan-rakan sarjana turut mengusulkan Malaysia mengambil inisiatif merangka strategi berkesan menentang kemaraan budaya tersebut," kata Anwar menerusi Facebook.
Tambah Anwar, mereka akan terus menjadi penggerak utama bagi membasmi isu Islamofobia.
Antara institusi terlibat, Institut Antarabangsa Pemikiran Islam (IIIT), Institut Dunia Arab dan Pusat Penyelidikan Timur Tengah dan Mediterranean(CERMOM).
Dalam pada itu, Anwar dijangka menunaikan solat Jumaat bersama-sama komuniti Islam di Masjid Al-Nour, Hamburg.
Anwar kemudiannya akan ditemu bual media tempatan Jerman, DPA pada sebelah petang ini.
Kehadiran Anwar di Hamburg hari ini adalah bagi mengadakan perbincangan dengan syarikat pengeluar semikonduktor tempatan 'Nexperia'.