fb fb fb fb fb

Anwar sampaikan sumbangan kepada Sarimah Ahmad, Dharma Harun

Ahmad Farhan Fauzi (kiri) dan Datuk Sarimah Ahmad

KUALA LUMPUR, 15 Februari- Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri, Ahmad Farhan Fauzi menziarahi seniwati Datuk Sarimah Ahmad dan seniman Dharma Harun Al-Rashid hari ini.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam satu hantaran menerusi facebook berkata, kedua-dua figura yang pernah terkenal di pentas layar perak negara diuji dengan musibah penyakit yang amat mengesankan.

"Dalam pertemuan ini, saudara Farhan turut menyampaikan sumbangan daripada pihak saya bagi membantu urusan harian dan perubatan mereka.

“Saya mendoakan mereka berdua dikurniakan afiyah serta sentiasa diberikan kekuatan untuk meneruskan kehidupan bersama keluarga tercinta, insya-Allah," kata hantaran itu..

Sebelum ini media melaporkan Sarimah, 82, pernah menghidap kanser usus tahap tiga pada 2022 dan kini, bebas dan pulih daripada penyakit itu selepas menjalani pembedahan.

Beliau antara pelakon legenda filem klasik dengan membintangi filem seperti Ali Baba Bujang Lapok, Madu Tiga, Ibu Mertuaku, dan Tiga Abdul.

Sementara itu Dharma Harun, 68, pula mengalami beberapa kesan sampingan seperti kesukaran bertutur dan mengingati sesuatu termasuk menghidap asma selepas diserang angin ahmar empat tahun lepas.

Dharma terkenal menerusi filem Adik Manja arahan Othman Hafsham sekitar tahun 1980.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI