SUBANG, 21 Disember- Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim optimis Malaysia dapat mempertahankan keutamaan dasar luar dan ekonominya di tengah perubahan dinamik global terutama dengan peralihan kepimpinan Amerika Syarikat (AS) yang menyaksikan Donald Trump kembali sebagai Presiden tahun hadapan.
Anwar berkata adalah penting bagi Malaysia untuk terus mengekalkan hubungan dua hala yang kukuh dengan AS khususnya dalam sektor berteknologi tinggi.
"Pasukan saya telah berhubung dengan pasukan Trump dan setakat ini perbincangan awal menunjukkan perkembangan positif. Pilihan terbaik adalah untuk mengekalkan hubungan yang baik dengan Amerika Syarikat," ujar beliau dalam sidang media di sini hari ini.
Anwar turut menegaskan bahawa AS kekal sebagai pelabur kumulatif utama Malaysia, selain kuasa besar global lain seperti China dan Jerman.