KUALA LUMPUR, 15 Disember- Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu parti KEADILAN mengadakan pemilihan segera bagi membolehkan proses peralihan kepimpinan.
Beliau menerusi hantaran di Facebook memaklumkan barisan kepimpinan parti harus melibatkan gandingan baharu dan lama sekali gus menjunjung tinggi prinsip demokrasi.
"Namun pimpinan muda usah gelojoh apabila diberi mandat kerana pengalaman getir pimpinan lalu yang dihina, ditekan dan dianggap sebagai musuh negara suatu ketika lalu yang mengizinkan KEADILAN kukuh bertapak pada saat ini.
"Saya turut singgung tindakan segelintir pimpinan dan Ahli Parlimen KEADILAN yang terperangkap dalam sentimen dimainkan pembangkang hingga tergamak menyatakan belas kasihan pada pihak yang telah mencuri berbilion ringgit wang rakyat," menurut hantaran itu.
Kongres yang bertujuan untuk meminda perlembagaan parti itu diadakan secara hibrid bagi memberi peluang kepada perwakilan dari negeri yang terkesan banjir untuk turut serta secara dalam talian.
Lebih dua pertiga perwakilan menyatakan persetujuan sekali gus meluluskan usul pindaan perlembagaan itu.
Pada masa sama beliau juga mahu pimpinan dan Ahli Parlimen KEADILAN segera menjawab dakwaan pembangkang dengan fakta seperti kes Batu Puteh.
"Pimpinan juga perlu segera memberi penjelasan pada rakyat terhadap sentimen dangkal kononnya Melayu dan Islam terancam ketika ini, sedangkan hakikatnya hanya mereka yang mencuri berbilion ringgit wang rakyat terancam di bawah pimpinan Kerajaan MADANI.
"Setiap anggota dan pimpinan KEADILAN harus terus membela nasib rakyat dan bekerja dengan baik. Jawatan yang disandang ini bukan penyelesaian, tapi ruang untuk melaksanakan cita-cita dan perjuangan kita," katanya lagi.