KUALA LUMPUR, 13 Disember- Kabinet Kerajaan MADANI yang baharu perlu lebih pantas serta fokus dalam usaha menterjemah cita dan nurani rakyat, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Menerusi Facebook, Anwar berkata beliau menuntut agar masalah rakyat diselesaikan segera.
Ini termasuk menoktahkan kemiskinan tegar, menguasai bidang-bidang penting, memacu pertumbuhan ekonomi dan menjamin kemakmuran negara.
"Dalam mesyuarat pertama Kabinet baharu Jemaah Menteri ini, saya tekankan tentang bidang tugas baharu setiap kementerian masing-masing.
"Tiada tempoh berbulan madu buat mana-mana anggota Kabinet, sebaliknya saya tuntut hasil untuk kerajaan ini," kata Anwar.
Terdahulu, beliau mengalu-alukan kebersamaan ahli-ahli Jemaah Menteri yang baharu iaitu Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, Menteri Perladangan dan Komoditi Datuk Seri Johari Ghani, Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, Menteri Digital Gobind Singh Deo dan Menteri Sumber Manusia Steven Sim pada mesyuarat itu.
Mesyuarat juga mengutus penghargaan buat mantan Menteri Sumber Manusia V. Sivakumar atas sumbangan yang telah diberikan.