MELBOURNE, 3 Mac - Lawatan rasmi Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Australia menyaksikan satu lagi sejarah penting bagi pemerkasaan kerjasama dalam pelbagai bidang.
Lawatan Anwar bermula dari 4 hingga 7 Mac atas jemputan Perdana Menteri Australia, Anthony Albanese akan memperkukuh hubungan kedua-kedua negara menerusi jalinan dua hala (bilateral) serta penglibatan dalam platform pelbagai hala (multilateral).
Dalam rangka lawatan rasmi selama 4 hari itu, Perdana Menteri akan mengetuai Malaysia ke Mesyuarat Tahunan antara Pemimpin Malaysia – Australia kali kedua (ALM) pada Mac di Melbourne.
Menurut Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Australia, Sharrina Abdullah, empat Memorandum Persefahaman (MoU) dijadual dimetrai antaranya merangkumi bidang pendidikan dan sukan.
“Semasa mesyuarat itu, kedua-dua pemimpin akan membincangkan langkah selanjutnya untuk memajukan spektrum luas kerjasama yang disokong oleh rangka kerja Perkongsian Strategik Komprehensif, termasuk dalam perdagangan dan pelaburan, pendidikan, ekonomi digital dan keselamatan siber.
“Para pemimpin juga dijangka meneroka jalan baharu untuk kerjasama dan bertukar-tukar pandangan mengenai isu utama serantau dan global yang menjadi perhatian bersama. Kedua-dua Perdana Menteri juga akan mengadakan Sidang Media Bersama dan menyaksikan Pertukaran Memorandum Persefahaman,” jelasnya dalam sidang media sempena lawatan Rasmi Perdana Menteri di Melborne.
Perdana Menteri juga dijadual menghadiri Sidang Kemuncak Khas ASEAN-Australia ke-50 pada 5 dan 6 Mac ini.
Dalam masa sama, selain isu Palestin, pemimpin ASEAN dan Australia akan bertukar pandangan mengenai pelbagai isu serantau dan antarabangsa yang membawa berkepentingan bersama.
“Pada Sidang Kemuncak Khas itu, ASEAN dan Australia akan mengkaji semula keadaan semasa perkongsian ASEAN-Australia dan membincangkan peningkatan kerjasama sedia ada dalam pelbagai bidang, antara lain peralihan tenaga, pembangunan modal insan, integrasi ekonomi, dan kesalinghubungan maritim,
“Pemimpin ASEAN juga akan bertukar-tukar pandangan mengenai isu serantau dan antarabangsa yang menjadi perhatian bersama. Sidang Kemuncak Khas itu dijangka menerima pakai Pernyataan Visi Pemimpin ASEAN-Australia dan Deklarasi Melbourne sebagai dokumen panduan untuk memajukan lagi hala tuju strategik perkongsian ASEAN-Australia,” katanya.
Penyertaan Malaysia dalam ALM dan Sidang Kemuncak Khas ASEAN-Australia, mencerminkan komitmen tinggi negara dalam memperkukuh lagi kerjasama sedia ada dengan Australia yang telah wujud di bawah kerangka Kerjasama Komprehensif Strategik, melalui platform dua hala dan pelbagai hala.
Hari terakhir lawatan rasmi pada 7 Mac nanti, Perdana Menteri turut dijadual untuk mengadakan Kunjungan Hormat ke atas Gabenor Jeneral Australia, David Hurley dan akan menyampaikan syarahan umum di Australia National University (ANU), Canberra.