SEBERANG JAYA, 15 Februari- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim tiba di Pulau Pinang bagi menghadiri Mesyuarat Tertutup bersama Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Keadilan Pulau Pinang, Kedah dan Perlis kira-kira pukul 9.10 malam tadi.
Mesyuarat tertutup itu dijalankan secara berasingan mengikut negeri.
Turut hadir Ketua Penerangan PKR Fahmi Fadzil dan Ketua Wanita PKR, Fadhlina Sidek.
Anwar dijadualkan akan memulakan lawatan ke Jualan Termurah MADANI di Bandar Perda pada 8.15 pagi esok, seterusnya ke Persidangan Antarabangsa Zakat Pulau Pinang di Universiti Sains Malaysia (USM).
Perdana Menteri kemudiannya akan menunaikan solat Jumaat serta menghadiri kenduri rakyat di Masjid Tengah Berapit, Permatang Pauh.
Seterusnya beliau akan merasmikan Karnival Pemerkasaan Kesalinghubungan dan Pembangunan Usahawan Pulau Pinang di Politeknik Seberang Perai, sebelum mengakhiri lawatannya ke Majlis Pecah Tanah di Taman Perindustrian Batu Kawan sebelum pulang semula ke ibu negara pada sebelah malam.