PUTRAJAYA, 13 April - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim meluangkan masa menghadiri Majlis Sambutan Aidilfitri yang dihoskan Timbalannya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi di Sri Satria, di sini, hari ini.
Anwar yang tiba bersama isterinya Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail di kediaman rasmi Timbalan Perdana Menteri, Sri Satria, pada 7.57 malam itu, disambut Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah dan isterinya Datin Seri Hamidah Khamis.
Majlis untuk tetamu kenamaan dan jemputan khas bermula 7 malam itu turut dihadiri anggota Jemaah Menteri termasuk Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad serta perwakilan asing.
Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Datin Paduka Nur-ul Afida Kamaludin, Ketua Pengarang Bernama Arul Rajoo Durar Raj dan Timbalan Ketua Pengarang Perkhidmatan Bernama Nasriah Darus.
Kira-kira 20,000 pengunjung hadir memeriahkan majlis itu yang dibuka untuk orang awam bermula 8 malam hingga 11 malam.
Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah menyifatkan sambutan kali ini sebagai sangat luar biasa dengan kehadiran pelbagai lapisan masyarakat.
“Terima kasih penduduk Putrajaya yang hadir bersama anak-anak mereka walaupun esok sekolah, tapi alhamdulillah mereka datang ke Sri Satria ini. Terima kasih banyak-banyak,” katanya.
Majlis turut diserikan dengan hidangan lebih 50 jenis juadah termasuk ketupat, lemang dan pelbagai jenis kuih-muih tradisional.