fb fb fb fb fb

Anwar bertemu 28 kapten industri Jerman

Foto BERNAMA

BERLIN, 12 Mac- Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bertemu dengan 28 kapten industri dalam mesyuarat meja bulat hari ini menerusi lawatan rasminya ke Jerman.

Mereka merupakan pelabur-pelabur yang signifikan di Malaysia.

Antara kapten industri terlibat ialah syarikat sektor tenaga, Siemens AG; syarikat teknologi bangunan, Schott AG; syarikat teknologi perubatan B. Braun; automotif, Volkswagen; dan syarikat logistik DHL.

Beberapa syarikat dengan skop sektor lain antaranya, syarikat aerospace, Airbus; syarikat elektronik, Leuze Group; dan syarikat pemesinan Sesotec.

Kesemua syarikat terlibat merupakan syarikat yang telah melabur dan syarikat-syarikat berpotensi dengan kerjasama baharu di Malaysia.

Sebahagiannya, dijangka akan meluaskan pelaburan sedia ada di Malaysia.

Turut hadir dalam mesyuarat itu, Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz dan Menteri Pembangunan Usahawan Dan Koperasi, Ewon Benedict.

Sementara itu, Anwar turut membuat pertemuan dengan lima buah syarikat secara satu per satu.

Ia melibatkan syarikat X-Fab, Melexis, Infineon Technologies AG, Schott Glass dan Airbus Group.

Syarikat X-fab dan Melexis merupakan syarikat pengeluar semikonduktor.

Manakala Schott Glass merupakan syarikat teknologi bangunan dan Airbus Group membangun teknologi aeroangkasa.

Anwar juga dijadual bertemu kira-kira 350 diaspora Malaysia di Jerman, selain meluangkan masa berbuka puasa bersama-sama mereka.

Perdana Menteri kemudiannya akan ke Masjid Sehitlik untuk menunaikan solat isyak dan tarawih.

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM