KOTA KINABALU, 20 April - Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini memberi penghormatan terakhir kepada mendiang Tan Sri Joseph Kurup di Wisma Fook Lu Siew, Kota Kinabalu hari ini.
Perdana Menteri yang diiringi Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Panglima Hajiji Noor tiba di pusat peringatan itu pada pukul 2.22 petang dan disambut oleh anak mendiang, Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Arthur Joseph Kurup sebelum bertemu ahli keluarga termasuk balu mendiang Puan Sri Melinda Mak Soak Fong.
Mendiang Tan Sri Kurup 80 tahun, yang merupakan pengasas Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) dan bekas Timbalan Ketua Menteri Sabah meninggal dunia di Institut Jantung Negara (IJN) di Kuala Lumpur pada Rabu lepas.
Mendiang adalah bekas Ahli Parlimen Pensiangan pernah memegang beberapa jawatan penting antaranya Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Perpaduan dan Integrasi Nasional).