MELBOURNE, 4 Mac- Kemakmuran ekonomi antara tonggak utama yang diberi tumpuan dalam Mesyuarat Pemimpin Tahunan (ALM) Kedua Malaysia-Australia yang berlangsung di sini, hari ini.
Ia turut memberi penekanan kepada dua tonggak lain iaitu masyarakat dan teknologi, serta pertahanan serantau dalam mengukuhkan hubungan dua hala antara kedua-dua negara.
Perkara itu merupakan elemen asas dalam memuktamadkan Memorandum Persefahaman (MoU) mengenai kerjasama dalam pelbagai bidang yang disaksikan sendiri oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan rakan sejawatannya, Anthony Albanese di sini.
"Kami sekali lagi mengesahkan komitmen untuk mempergiatkan kerjasama yang sedia ada.
"(Selain itu) beberapa perkara spesifik seperti ekosistem vaksin, peralihan tenaga bersih dan TVET (Latihan Teknikal dan Vokasional) tentunya menjadi keutamaan kami kerana kami telah mendapat manfaat besar dalam pendedahan kepada sistem pendidikan.
"Saya teruja dengan banyak universiti yang akan memperluasksn program mereka ke Malaysia dan (akan) terus menghantar pelajar ke Australia," katanya pada sidang media bersama Albanese selepas menghadiri ALM di sini.
Kedua-dua pemimpin itu menyaksikan pertukaran MoU bagi kerjasama pendidikan tinggi, sukan, keselamatan siber dan teknologi kritikal.
Begitu juga kerjasama praktikal antara kedua-dua negara dalam bidang sains dan teknologi serta aplikasinya untuk pelaksanaan Perjanjian Pengharaman Ujian Nuklear Komprehensif (CTBT).
MoU terbabit diwakili oleh Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan.
Turut hadir, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz dan Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh.
Dalam pada itu, Anwar berkata, Malaysia-Australia komited untuk mengembangkan lagi beberapa sektor melibatkan perkongsian kemahiran kedua-dua negara.
Antaranya, tenaga boleh diperbaharui, teknologi hijau, digital, keselamatan makanan dan pendidikan.
"Ini adalah sesuatu yang amat diperlukan di negara-negara termasuk Malaysia dan sudah tentu pendidikan menjadi sebahagian daripada peluang untuk kami datang ke sini, (seterusnya) mendapat manfaat daripadanya.
"Ada banyak institusi dan universiti negeri mahu menubuhkan kampus di Malaysia, kami amat digalakkan (serta) komitmen kami untuk memudahkan, malah mempercepatkan proses itu," tambahnya.
Terdahulu, Anwar Ibrahim diberi sambutan rasmi di Government House sempena lawatan empat hari beliau ke Australia.
Ketibaan beliau disambut oleh Gabenor Victoria, Margaret Gardener dan rakan sejawatan, Albanese.
Anwar melakukan lawatan itu atas jemputan Albanese yang bermula di Melbourne semalam dan berakhir di Canberra pada Khamis ini.
Ia adalah lawatan sulung Anwar ke Australia dan beliau mengetuai delegasi Malaysia ke ALM serta Sidang Kemuncak Khas ASEAN-Australia.
ARTIKEL BERKAITAN
PM Anwar tiba di Melbourne, bakal cipta peluang penting Malaysia-Australia
Anwar lakukan lawatan rasmi 4 hari ke Australia bermula esok
Malaysia cari semula MH370 jika ada bukti baharu - PM Anwar
Anwar gesa masyarakat dunia hormat dan tolak ansur sesama agama, kaum