fb fb fb fb fb

Anwar akan terus guna petikan ayat al-Quran, tafsiran

Datuk Seri Fadillah Yusof (kiri), Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Datuk Seri Azalina Othman Said

PUTRAJAYA, 8 Januari- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim akan terus memetik ayat al-Quran dan tafsiran dalam ucapan akan datang namun akan merujuk Jabatan Kemajuan Islam (Jakim) sebelum memetik ayat al-Quran bagi mengelakkan sebarang kontroversi.

Walaupun ucapannya berhubung surah Al-Kahfi sebelum ini menerima pandangan berbeza bagi sesetengah pihak sehingga menjadi kontroversi, insiden itu menimbulkan minat masyarakat terutama golongan muda untuk membaca dan menelaah al-Quran dengan lebih mendalam.

"Mengkritik jangan sekali-sekali mencela, menghina apa lagi menuduh orang itu melaknatkan atau menyesatkan. Dan saya syukur kerana apa yang dilontarkan diperhimpunan Jabatan Perdana Menteri (JPM) ini menimbulkan minat terutama kepada anak-anak muda untuk membaca dan menelaah.

"Jadi bukan sekadar membaca al-Quran, menafsirkan dan menelaah secara lebih mendalam. Saya anggap penting bulan-bulan lain saya baca ayat al-Quran lain dan tafsir supaya mengalakkan ada perbahasan lain," katanya semasa berucap dalam Majlis Perjumpaan Perdana Menteri Bersama Warga Jabatan Perdana Menteri (JPM) bagi Bulan Januari 2024 di sini.

Meskipun kisah Ashabul Kahfi yang dipetik sebelum ini menjadi kontroversi dan keterlaluan, namun beliau menganggap ia satu perkembangan positif.

Selain itu pandangan tentang kisah tujuh pemuda Ashabul Kahfi itu turut digunakan oleh pihak tertentu sebagai senjata politik.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI