SUBANG, 21 Disember- Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dijadual mengadakan pertemuan dengan Presiden Indonesia, Prabowo Subianto dan bekas Perdana Menteri Thailand, Thaksin Shinawatra di Langkawi pada Disember ini bagi membincangkan isu strategik serantau serta perkembangan ASEAN.
Anwar memaklumkan pertemuan dua hala bersama Prabowo akan berlangsung pada 23 Disember diikuti pertemuan dengan Thaksin pada 26 Disember.
"Pertemuan dua hala dengan Presiden Prabowo akan diadakan di Langkawi pada 23 haribulan (Disember). Beliau memilih untuk menjadikannya pertemuan empat mata bagi membincangkan beberapa hal dua hala serta pandangan berkaitan ASEAN dan perkembangannya.
"Pada 26 haribulan (Disember) pula, saya akan bertemu Thaksin di Langkawi untuk membincangkan peranan beliau," katanya dalam sidang media di sini hari ini.
Menurut beliau, Thaksin dilantik sebagai penasihat tidak rasmi kepada Perdana Menteri selaku Pengerusi ASEAN 2025 dan tidak terlibat dalam struktur rasmi ASEAN.
Jekasnya, peranan Thaksin adalah penting khususnya dalam mencari penyelesaian isu berkaitan Myanmar.
"Beliau mempunyai kekuatan daripada segi hubungan baik dengan beberapa pemimpin ASEAN serta pengalaman yang luas. Kedua-dua aspek ini dapat membantu menyelaraskan isu Myanmar dengan pendekatan yang lebih strategik.
"Namun, kedudukan beliau hanyalah sebagai penasihat kepada saya bersama pasukannya dan tidak terlibat dalam struktur rasmi ASEAN," tambah Anwar.
Pengumuman mengenai pelantikan Thaksin dibuat pada 16 Disember lepas di Putrajaya semasa sidang media bersama Perdana Menteri Thailand, Paetongtarn Shinawatra dalam lawatan rasmi ke Malaysia.
Sempena Kepengerusian ASEAN 2025, Malaysia memberi keutamaan kepada Grid Tenaga ASEAN dan digitalisasi sebagai langkah meningkatkan perdagangan intra-ASEAN.
Perbincangan mengenainya telah dilaksanakan bersama pemimpin utama beberapa negara.