KUALA LUMPUR, 2 Oktober- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengadakan kunjungan hormat ke atas Gabenor Jeneral New Zealand, Dame Cindy Kiro di sebuah hotel terkemuka di ibu negara hari ini.
Lawatan sulung Kiro ke Kuala Lumpur mencerminkan kepentingan hubungan Malaysia-New Zealand yang telah lama terjalin disamping kerjasama yang terus diperkukuh secara rasmi ke tahap kerjasama strategik pada Mei lepas.
Pertemuan selama 30 minit itu turut dihadiri Menteri Luar Datuk Seri Zambry Abdul Kadir dan Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh serta delegasi dari New Zealand.
Kali terakhir New Zealand mengadakan lawatan peringkat ketua negara ke Malaysia kira-kira enam tahun lalu iaitu pada 5 hingga 8 Disember 2017 oleh Dame Patsy Reddy.
New Zealand merupakan rakan dagangan kedua terbesar Malaysia di rantau Pasifik dengan jumlah dagangan keseluruhan bagi kedua-dua negara setakat Jun 2023 bernilai RM6.32 bilion.
(Dame Cindy Kiro bersalaman dengan Anwar Ibrahim/Foto BERNAMA)