Anjung Syawal FRP2026 dijangka tarik sejuta pengunjung

FOTO BERNAMA

PUTRAJAYA, 5 Febuari – Anjung Syawal bersempena Festival Ramadan Putrajaya 2026 (FRP2026) yang akan berlangsung dari 18 Februari hingga 19 Mac ini dijangka menarik kehadiran sehingga satu juta pengunjung, sekali gus menjadi antara bazar Aidilfitri terbesar di Lembah Klang.

RINGKASAN BERITA AI
  • Anjung Syawal FRP2026 di Dataran Putrajaya dijangka tarik sehingga satu juta pengunjung.
  • Lebih 300 lot niaga termasuk fesyen Aidilfitri, kuih tradisional dan juadah berbuka puasa.
  • Operasi panjang setiap hari; waktu berbeza hujung minggu dan hari bekerja untuk kemudahan pengunjung.
  • Program hiburan, kerohanian dan kerjasama TMM 2026 untuk hebahan pelancongan dan budaya.

Program anjuran Puncak Niaga Maju Sdn Bhd (PNM) itu akan diadakan di Dataran Putrajaya, Presint 3, berhadapan Kompleks Perbadanan Putrajaya dan Istana Kehakiman, serta merupakan komponen utama FRP2026 anjuran Perbadanan Putrajaya (PPj) yang tersenarai dalam kalendar Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM 2026).

Pengurus Anjung Syawal FRP2026, Muhammad Amin Noriman berkata, penganjuran kali ini menyediakan lebih 300 lot niaga melibatkan pelbagai kategori termasuk fesyen dan busana Aidilfitri, aksesori, kuih-muih tradisional serta pelbagai juadah berbuka puasa.

“Anjung Syawal FRP2026 akan beroperasi dari pukul 12.00 tengah hari hingga 12.00 tengah malam pada hari bekerja, manakala hujung minggu bermula pukul 10.00 pagi hingga 12.00 tengah malam, bagi memberi peluang kepada pengunjung berkunjung mengikut kesesuaian masa,” katanya di sini hari ini.

Penganjuran tahun ini turut memberi penekanan kepada keselesaan dan keselamatan pengunjung supaya pengalaman berkunjung lebih teratur dan menyenangkan.

Selain aktiviti jualan, pengunjung turut disajikan dengan pelbagai pengisian program termasuk persembahan artis popular setiap minggu, sesi ramah mesra bersama selebriti dan pempengaruh media sosial, peragaan fesyen busana Aidilfitri serta demonstrasi memasak bersama cef terkenal.

Pengisian kerohanian turut menjadi antara fokus utama menerusi penganjuran ceramah dan tazkirah yang melibatkan 31 penceramah, termasuk penampilan khas Mufti Wilayah Persekutuan, Ahmad Fauwaz Fadzil.

Program berkenaan turut dimeriahkan dengan persembahan kumpulan dan penyanyi nasyid popular tanah air seperti Hijjaz, Rabbani, Inteam dan Hafiz Hamidun, di samping alunan qasidah, tadabbur ayat suci al-Quran serta aktiviti interaktif untuk keluarga dan kanak-kanak.

Penganjuran Anjung Syawal FRP2026 turut menyokong inisiatif nasional melalui kerjasama strategik bersama Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya bagi merancakkan kempen TMM 2026, sekali gus memperkukuh Putrajaya sebagai destinasi pelancongan, acara dan budaya bertaraf antarabangsa.

Majlis Konvokesyen INFRA rai, tauliah 179 graduan

Artikel Tajaan

TEMAN TEKUN Sabah salur RM25.17 juta sepanjang 2025, perkasa usahawan tempatan

Artikel Tajaan