fb fb fb fb fb

Anggota penyelamat Terengganu siap siaga hadapi banjir

Ketua Polis Terengganu, Datuk Mohd Khairi Khairuddin berkata semua agensi terlibat selesai menjalani Latihan Dalam Perkhidmatan (LDP), meliputi aspek pengendalian aset serta keupayaan mengurus operasi menyelamat ketika banjir.

BESUT, 4 Oktober - Lebih 2,000 anggota penyelamat pelbagai agensi di Terengganu berada pada tahap kesiapsiagaan penuh untuk digerakkan pada bila-bila masa menghadapi banjir.

Ketua Polis Terengganu Datuk Mohd Khairi Khairuddin berkata, jumlah itu melibatkan 1,068 anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM), 538 anggota bomba, 354 Angkatan Pertahanan Awam (APM), 80 Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan 229 Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA).

Menurutnya lagi, semua agensi terbabit selesai menjalani Latihan Dalam Perkhidmatan (LDP) di seluruh negeri, meliputi aspek pengendalian aset serta keupayaan mengurus operasi menyelamat ketika banjir.

“LDP di peringkat negeri dan daerah berisiko telah diadakan bersama agensi terbabit. Latihan termasuk mengendalikan bot, menguruskan mangsa ke PPS dan pengedaran makanan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Taman Angkat Amanita Kontinjen Terengganu di Taman Persiaran Limbongan, Besut, hari ini.

Taman Angkat berkenaan merupakan yang ke-11 diwujudkan di seluruh negeri sejak 2013, bagi memperkukuh hubungan polis dengan masyarakat setempat.

Dalam pada itu, Mohd Khairi berkata pihaknya memberi tumpuan kepada semua daerah yang dijangka terjejas akibat banjir, termasuk menempatkan pengkalan hadapan di lokasi strategik.

Beliau turut mengingatkan masyarakat agar sentiasa mengikuti perkembangan dan ramalan cuaca dikeluarkan Jabatan Meteorologi Malaysia sepanjang musim Monsun Timur Laut.

TUAN MOHAMAD IKRAM BIN TUAN MUHAMAD