fb fb fb fb fb

Ancaman K.Utara di Rusia, Ukraine dan K.Selatan sepakat tingkat kerjasama

Foto Reuters

SEOUL, 27 November- Korea Selatan dan Ukraine bersetuju untuk memperdalam kerjasama dalam bidang keselamatan sebagai tindak balas terhadap ancaman yang ditimbulkan Korea Utara dan Rusia.

Perjanjian itu dibuat selepas pertemuan antara Presiden Korea Selatan, Yoon Suk Yeol, dengan Menteri Pertahanan Ukraine, Rustem Umerov selepas kedua-dua negara tersebut meluahkan kebimbangan mengenai penempatan beribu-ribu tentera Pyongyang di Rusia barat.

Presiden Yoon menyatakan harapan bahawa Korea Selatan dan Ukraine akan bekerjasama dalam merangka langkah-langkah efektif untuk menangani ancaman keselamatan yang timbul daripada kerjasama ketenteraan Korea Utara dengan Rusia.

"Kedua-dua pihak bersetuju untuk terus berkongsi maklumat mengenai penempatan tentera Korea Utara ke Rusia serta pemindahan senjata dan teknologi antara Rusia dan Korea Utara," tambah kenyataan itu.

Lawatan itu berlangsung selepas Korea Selatan memberi isyarat bahawa ia mungkin mengubah dasar lama yang tidak menyediakan senjata kepada negara yang terlibat dalam konflik, tetapi kenyataan tersebut tidak menyebutkan mengenai pembekalan senjata.

Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky, dalam satu temu bual dengan media Korea Selatan bulan lalu, menyatakan bahawa negara tersebut sedang menyediakan senarai sokongan ketenteraan yang diperlukan.

Beliau menambah bahawa senarai itu akan merangkumi sokongan artileri dan sistem pertahanan udara.

"Keputusan Korea Selatan untuk membantu Ukraine secara langsung bergantung kepada "tahap penglibatan Korea Utara" dalam konflik tersebut.

Seoul tidak menolak kemungkinan untuk menyediakan senjata," kata Yoon.- REUTERS

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM