fb fb fb fb fb

Amaran keras kepada pengeluar pastikan bekalan telur domestik dipertingkat -KPDNHEP

(Walaupun penyaluran subsidi, urusan pengeluaran dan bekalan telur tertakluk di bawah bidang kuasa MAFI,
KPDNHEP akan sentiasa bekerjasama dengan agensi terlibat bagi memastikan kebajikan pengguna dijaga)


KUALA LUMPUR, 17 Oktober- Semua pengeluar telur ayam diberi amaran keras untuk memastikan pengeluarannya bagi kegunaan domestik dipertingkat.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi menegaskan, langkah berkenaan perlu bagi memastikan keberadaan bekalan makanan itu dalam pasaran negara.

Katanya, tindakan pengeluar yang mengeksport telur gred kawalan iaitu telur gred A, B dan C ke luar negara menjadi punca bekalan telur domestik berkurangan.

Beliau ketika turun padang melihat bekalan barangan di pasar raya Segi Fresh di Batu Caves di sini pada Ahad mengakui bekalan telur berkurangan. dan perkara itu turut diakui pemilik pasar raya yang menyatakan bekalan komoditi itu sukar didapati disebabkan tindakan pengeluar mengeksport telur gred kawalan iaitu gred A, B dan C ke luar negara sekali gus menyebabkan bekalan telur domestik berkurangan.

“Kerajaan melalui Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) bertanggungjawab menyediakan dan menaikkan subsidi kepada penternak dari tiga sen sebiji kepada lapan sen sebiji disebabkan kos pengeluaran meningkat, yang memberi kesan kepada pengeluaran telur gred A, B dan C.

Tambahnya, pemberian subsidi kepada penternak juga bertujuan memastikan harga kepada pengguna kekal pada harga siling yang ditetapkan kerajaan untuk telur gred A, B dan C.

Beliau berkata walaupun penyaluran subsidi, urusan pengeluaran dan bekalan telur tertakluk di bawah bidang kuasa MAFI, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) akan sentiasa bekerjasama dengan agensi terlibat bagi memastikan kebajikan pengguna dijaga.

Beliau berkata demikian pada Majlis Penutup Promosi Kraf Sempena Kempen Beli Barangan Malaysia 2022 di ibu negara pada Ahad.

(Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi
pada Majlis Penutup Promosi Kraf Sempena Kempen Beli Barangan Malaysia 2022 di ibu negara)


Berhubung dengan isu caj pengendalian telur gred AA oleh pembekal, Nanta menyatakan jika dikesan dan didapati bersalah, tindakan tegas akan dikenakan termasuk kompaun.

Sementara itu, menerusi hantaran di Facebook, Nanta berkata hasil pemantauan bekalan barangan menjelang sambutan Deepavali bagi ayam, sayur minyak dan sebagainya dilihat memuaskan dengan harga jualan mematuhi harga maksimum ditetapkan kerajaan.

Nanta berkata senarai harga dan barangan di bawah Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Deepavali serta tempoh kawalan akan diumumkan kelak.

“Harga ditetapkan adalah munasabah berdasarkan data pergerakan harga barang yang dikumpul secara berterusan oleh Bahagian Penguat Kuasa KPDNHEP dan Bahagian Harga Barang Negara, berserta input daripada pemain industri dan agensi berkaitan,” katanya.


Media Baharu