fb fb fb fb fb

Amaran hujan peringkat waspada di pantai timur Semenanjung esok

FOTO METMALAYSIA

KUALA LUMPUR, 12 Disember- Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran hujan berterusan peringkat waspada di Kelantan, Terengganu dan Pahang berkuat kuasa selama dua hari bermula esok.

Ketua Pengarahnya, Muhammad Helmi Abdullah berkata, berdasarkan analisis model-model cuaca, penumpuan angin dijangka berlaku di timur dan selatan Semenanjung sehingga Jumaat ini yang boleh menyebabkan peningkatan kelembapan yang berpotensi membawa hujan berterusan di kawasan tersebut.

“Sementara itu, di negeri-negeri lain, ribut petir berserta hujan lebat dan angin kencang berpotensi berlaku pada sebelah petang hingga ke malam,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Justeru, orang awam dinasihatkan untuk sentiasa merujuk laman web www.met.gov.my dan media sosial rasmi MetMalaysia serta memuat turun aplikasi myCuaca bagi maklumat yang terkini dan sahih.

SITI AISHAH BINTI MD ISA