KUALA LUMPUR, 23 Januari - Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran hujan lebat berterusan tahap buruk bagi daerah Kemaman di Terengganu dan Kuantan di Pahang, hingga esok.
MetMalaysia dalam satu kenyataan berkata, Kemaman menjadi lokasi ketujuh di Terengganu dijangka mengalami hujan lebat berterusan tahap buruk selain enam lokaliti iaitu Setiu, Kuala Nerus, Hulu Terengganu, Kuala Terengganu, Marang dan Dungun yang disenaraikan pagi tadi.
Amaran hujan berterusan tahap waspada hingga esok turut dikeluarkan bagi Kelantan meliputi Tumpat, Pasir Mas, Kota Bharu, Tanah Merah, Bachok, Machang dan Pasir Puteh. Di Terengganu membabitkan Besut manakala di Pahang membabitkan daerah Jerantut dan Pekan," menurut kenyataan itu.
Dalam pada itu, laporan terkini yang dikeluarkan Pusat Kawalan Bencana Negara Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) setakat 12.00 tengah hari ini, memaklumkan pusat pemindahan sementara (PPS) di Segamat, Johor telah tutup sepenuhnya.
Mengenai status Stesen Telemetri Jabatan Pengairan dan Saliran pula, NADMA memaklumkan beberapa sungai yang berada pada paras bahaya, kekal dalam tempoh yang sama iaitu di Pahang, Perlis, Sabah, Sarawak dan Terengganu.
Antaranya ialah Sungai Rompin di Pahang, Sungai Arau, Perlis, Sungai Terengganu, di Terengganu, Batang Oya Sibu di Sarawak serta Sungai Kinabatangan di Sabah.