KUALA LUMPUR, 8 Disember - Amaran hujan berterusan selama empat hari bermula Ahad ini di Kelantan, Terengganu, Pahang dan Johor dikeluarkan.
Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) menerusi satu kenyataan berkata, ini terutamanya pada sebelah pagi, ekoran penumpuan angin yang dijangka berlaku di Timur Semenanjung.
"Keadaan ribut petir berserta hujan lebat dan angin kencang turut berpotensi berlaku di negeri-negeri lain pada sebelah petang hingga ke malam," menurut kenyataan itu.
Orang ramai turut dinasihatkan agar sentiasa merujuk laman web www.met.gov.my dan media sosial rasmi METMalaysia serta memuat turun aplikasi Mycuaca bagi mendapat maklumat yang terkini dan sahih.