
KUALA LUMPUR, 13 April – Orang ramai disaran mengamalkan langkah pencegahan penyakit bagi mengurangkan kebergantungan terhadap ubat-ubatan.
- Dapatkan rawatan awal supaya penyakit tidak menjadi lebih serius dan kebergantungan terhadap ubat berkurang.
- Bekerjasama dengan kerajaan, jaga kesihatan diri dan jangan biarkan penyakit berkembang menjadi kronik.
- Elakkan pembelian panik ubat; pembelian berlebihan menggugat bekalan, ubat mempunyai tarikh luput dan keperluan boleh berubah.
Pakar Perubatan Kesihatan Awam, Datuk Dr Zainal Ariffin Omar berkata, ini termasuk mendapatkan rawatan awal bagi mengelak keadaan penyakit menjadi lebih serius.
“Rakyat perlu bekerjasama dengan kerajaan dengan menjaga kesihatan diri. Jangan tunggu sehingga penyakit menjadi kronik kerana ini akan meningkatkan keperluan terhadap ubat,” katanya kepada RTM.
Sementara itu, Pakar Kesihatan Awam Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Dr Sharifa Ezat Wan Puteh menegaskan, orang ramai tidak perlu melakukan pembelian panik terhadap ubat-ubatan.
Pembelian secara berlebihan boleh menyumbang kepada ketidakseimbangan bekalan di pasaran.
“Setiap ubat mempunyai tarikh luput dan tidak sesuai disimpan terlalu lama. Keperluan kesihatan seseorang juga boleh berubah dari semasa ke semasa,” ujarnya.