PUTRAJAYA, 14 Jun- Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengharapkan satu tranformasi pemikiran dan sikap terutamanya melibatkan penjawat awam dalam menilai sesuatu perkara.
Jelas Anwar, penjawat awam harus melakukan anjakan dalam memacu pembangunan dengan mengekalkan amalan baik.
Mereka juga perlu membuang amalan buruk yang menjejaskan imej perkhidmatan awam.
"Kita telah memilih untuk melakukan anjakan, maknanya kita akui dengan tawaduk, kalau mahu mengangkat martabat negara ini..tidak boleh kita pertahankan cara yang sama atau mengulangi kaedah sama.
"..Ada budaya yang baik kita teruskan, ada budaya yang terbukti berkesan, kita teruskan...tidak kira daripada kerajaan mana, parti mana.
"Saya bersikap begitu seperti juga seorang muslim, ilmu itu ada yang baik dari barat, ada dari timur, ada dari warisan luluhur bangsa, ada daripada keyakinan agama kita.. semua itu gedung ilmu yang boleh memanfaatkan kita.
"Jadi konteks yang sama, kalau ada pengalaman lama yang baik kita ambil...tetapi bila saya katakan peluang kesempatan untuk kita melakukan anjakan bermakna mengekalkan yang baik, meninggalkan amalan 'goblok' oleh segelintir kecil yang telah mencemar, bukan saja nama penjawat awam ataupun sistem politik negara dan telah menghalang kecepatan kelajuan kita memacu pertumbuhan untuk menyelamatkan bangsa dan negara ini," katanya pada Program Himpunan Aspirasi MADANI Rakan Pembimbing Perkhidmatan Awam di PICC di sini.