KUALA NERANG, 20 April - Alumni 4B Negeri Kedah menyokong penuh usaha dan tindakan yang dilakukan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk memerangi gejala rasuah di negara ini.
Malah semua pihak perlu memainkan peranan membantu kerajaan dalam usaha menangani ketirisan termasuk melibatkan barangan bersubsidi seperti minyak dan barangan keperluan lain.
Timbalan Pengerusi Alumni 4B Negeri Kedah, Datuk Ahmad Kamil berkata pendekatan yang diambil Perdana Menteri seharusnya membuka mata dan telinga semua pihak untuk bersama-sama dengan kerajaan memerangi sebarang salah laku.
"Maka wajarlah kita sebagai rakyat Malaysia menyokong apa yang dibuat oleh Datuk Seri Anwar kerana rasuah ini bahaya dan menjadi kanser kepada masyarakat, maka sudah tentu negara kita akan menjadi bebas rasuah dan ketirisan yang berlaku akan dapat dimanfaatkan kepada seluruh rakyat Malaysia", kata Ahmad Kamil demikian selepas menghadiri Jamuan Hari Raya Aidilfitri 1445 Hijriah anjuran Alumni 4B Padang Terap di Surau An Nur Pong Manis di Kuala Nerang di sini malam tadi. (Jumaat).
Hadir sama, Penasihat Alumni 4B Padang Terap, Datuk Seri Mahdzir Khalid dan Timbalan Dekan Ghazali Shafie Graduate School of Government (GSGSG), Universiti Utara Malaysia (UUM), Profesor Madya Dr Kamarul Azman Khamis.
Sementara itu, Ahmad Kamil menyeru kepada rakyat kedah agar bersama-sama memeriahkan Majlis Sambutan Aidilftri Madani 2024 peringkat Negeri Kedah pada 4 Mei ini.
Majlis tersebut bakal dihadiri Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan diadakan di Tasik Darul Aman, Jitra, Kedah bermula pukul 7 petang hingga pukul 10.30 malam.
Ujar Ahmad Kamil penganjuran Majlis Sambutan Aidilfitri Madani itu menunjukkan keprihatinan Kerajaan Perpaduan yang tidak pernah meminggirkan negeri Jelapang Padi itu walaupun berbeza ideologi politik.
Pada majlis itu, Datuk Ahmad Kamil turut menyerahkan 400 borang keahlian baru alumni 4B Padang Terap kepada Datuk Seri Mahdzir.