fb fb fb fb fb

Ali Cafe tiada gelatin babi, ada sijil halal - JAKIM

FOTO FB Bahagian Hab Halal, JAKIM

KUALA LUMPUR, 11 Januari- Produk jenama Ali Cafe didakwa mengandungi gelatin babi seperti yang tular di media sosial baru-baru ini adalah isu lama yang ditularkan kembali oleh pihak tidak bertanggungjawab.

Seksyen Komunikasi Korporat, Bahagian Pengurusan Halal, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) mengesahkan produk Ali Cafe merupakan pemegang Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) yang sah.

Melalui semakan pihak itu, keratan akhbar yang tular tersebut adalah terbitan pada tahun 2011 dan isunya telah selesai, namun kembali ditularkan oleh pihak tidak bertanggungjawab.

"Isu ini berpunca daripada keratan akhbar yang memaparkan pengeluar Kluang Rail Coffee telah didakwa kerana menjual produk yang mengandungi gelatin babi tanpa melabelkan kandungannya pada label bungkusan produk berkenaan.

"Kini, Kluang Rail Coffee merupakan pemegang Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) yang sah.

"Produk Ali Cafe yang merupakan pemegang SPHM pula tiada kena mengena dengan produk Kluang Rail Coffee berkenaan," menurutnya dalam kenyataan.

Jelasnya, SPHM hanya akan diberikan setelah pihak syarikat atau pengeluar mematuhi seluruh prosedur dan keperluan berkaitan halal yang telah ditetapkan.

Pengauditan halal dilakukan dengan memeriksa seluruh rantaian pemprosesan produk di lapangan dengan teliti oleh pihak berautoriti.

SITI AISHAH BINTI MD ISA