fb fb fb fb fb

Al-Sultan Abdullah berangkat ke istiadat perbarisan Hari Pahlawan

PUTRAJAYA, 31 Julai- Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan berangkat ke istiadat perbarisan sambutan Hari Pahlawan Tahun 2023 di Dataran Pahlawan Negara, di sini.

Istiadat anjuran Polis Diraja Malaysia (PDRM) berkonsepkan perbarisan statik dengan penglibatan enam detasmen yang terdiri daripada PDRM, Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia (PVATM), pesara polis serta bekas polis, PDRM.

Istiadat sambutan Hari Pahlawan dimulakan dengan lagu Negaraku diiringi dengan 21 das tembakan meriam yang disempurnakan anggota ATM, kemudian diikuti pemeriksaan kawalan kehormatan utama oleh Seri Paduka Baginda.

Perbarisan Hari Pahlawan melibatkan 18 pegawai dan 652 anggota lain-lain pangkat daripada PDRM dan ATM diketuai Superintendan Rezuan Juragan dari PDRM.

Majlis itu turut dihadiri Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Fadillah Yusof, Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamad Hassan serta Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Affendi Buang dan Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain turut hadir pada majlis itu.

Istiadat diteruskan dengan tiupan 'Paluan Akhir' dengan menurunkan Jalur gemilang dan diikuti bacaan sajak bertajuk 'Pahlawanku' disampaikan oleh Sarjan Roseshini Kasim (PDRM) dan Pegawai Waran 1 Yomen Marzelan Md. Jusoh (ATM).

Pantomim khas turut dipersembahkan PDRM yang mengisahkan pengorbanan pejuang negara ketika mempertahankan kedaulatan negara di perkampungan Air Sri Jaya, Simunul, Semporna, Sabah yang berlaku pada 2 Mac 2013.

Susana sedih dan pilu terlihat diwajah Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah ketika menyaksikan persembahan pantomim yang dipersembahkan 150 pegawai dan anggota Polis serta ahli keluarga pegawai Polis yang terkorban dalam tragedi itu.

Yang di-Pertuan Agong turut berkenaan mencemar dulu menyantuni ahli keluarga mangsa yang terkorban.

Hari Pahlawan disambut pada 31 Julai setiap tahun bagi memperingati dan menghargai semangat keberanian selain menghargai jasa para perwira dan perajurit pasukan keselamatan negara demi mempertahankan keamanan serta kedaulatan Malaysia.

(Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah tidak dapat menahan sebak semasa berkenan menyaksikan
persembahan pantomim
sempena Sambutan Hari Pahlawan di Dataran Pahlawan/Foto BERNAMA)

Media Baharu