fb fb fb fb fb

Aktiviti keagamaan, riadah bersama keluarga warnai sambutan ambang tahun baharu 2024

Suasana dan reaksi para hadirin yang menghadiri Sambutan Ambang Tahun Baharu 2024, Darul Ehsan Berselawat di Dataran Karnival Perkarangan Stadium Shah Alam/FOTO BERNAMA

KUALA LUMPUR, 1 Januari - Ketibaan Tahun Baharu 2024 disambut sederhana di seluruh negara setelah kerajaan memutuskan tiada sambutan rasmi diadakan sebagai tanda solidariti kepada rakyat Palestin yang ditindas kejam oleh rejim Zionis Israel selain menghormati mangsa banjir di beberapa negeri.

Tinjauan Bernama di ibu negara mendapati, selain sambutan tidak rasmi anjuran pihak swasta dan syarikat korporat di beberapa tempat seperti The Exchange TRX dan Menara Kuala Lumpur, ketibaan tahun baharu turut diisi dengan program kerohanian yang diadakan di beberapa institusi keagamaan.

Di Masjid Negara, hampir 200 jemaah menyertai program bacaan Yasin dan majlis zikir serta doa selamat dengan jemaah dilihat mula hadir sejak 6.30 petang.

Acara sama turut berlangsung di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin dan Masjid Putra, Putrajaya dengan masyarakat Islam menghadiri Program Kerohanian Ambang Tahun Baharu 2024 anjuran Jabatan Kemajuan Islam (Jakim).

Selain itu, Gereja Katolik St Anthony Kuala Lumpur turut tidak ketinggalan mengadakan aktiviti kerohanian bagi penganutnya yang hadir sejak 7 malam.

Di TERENGGANU, ribuan pengunjung menyertai sambutan Ambang Tahun Baharu 2024 bertemakan ‘Indahnya Hidup Bersyariat’ di Stadium Tertutup Gong Badak, Kuala Nerus, yang diisi pelbagai program kerohanian seperti solat maghrib, isyak serta solat sunat hajat yang diimamkan Dr Sheikh Mohamad Abdel Hamid Kolib dan Sheikh Bilal Al-Hossayny.

Di PULAU PINANG, kebanyakan masjid di sekitar negeri antaranya Masjid Almustaghfirin di Sungai Tiram turut mengadakan solat hajat, doa dan selawat sempena sambutan Ambang Tahun Baharu 2024 bagi mendoakan kesejahteraan semua dengan dihadiri kira-kira 500 orang.

Di JOHOR, sambutan tahun baharu diisi dengan Program Batu Pahat Berselawat yang diadakan di Masjid Seri Sulong, Taman Seri Sulong, Batu Pahat dan dihadiri Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam negeri Mohd Fared Mohd Khalid.

Di PAHANG, walaupun tiada sambutan rasmi ambang tahun baharu diadakan, terdapat pelbagai acara dianjurkan pihak persendirian seperti pengurusan Masjid Tepian Putra yang mengadakan program Mega Selawat dan bacaan Yassin serta Tahlil, selain jualan gerai dan trak makanan.

Di SELANGOR, zikir dan selawat bergema dialunkan oleh kira-kira 10,000 hadirin yang menyertai Program Darul Ehsan Berselawat 3.0 sempena sambutan ambang Tahun Baharu 2024 di Dataran Tapak Karnival, pekarangan Stadium Shah Alam malam ini.

Program itu turut diserikan dengan nyanyian qasidah oleh kumpulan nasyid Nur Ahli Badar dan Babul Mustafa yang diselang-seli ceramah disampaikan oleh Habib Nael Taher, Ustaz Iqbal Zain, Habib Najmudden Othman serta Habib Jindan Novel.

Di NEGERI SEMBILAN, kira-kira 600 hadirin memeriahkan Karnival Mega Ambang Tahun Baharu 2024 bertemakan ‘Masjid: Hijrahku Bermula Di Sini’ dengan pelbagai pengisian termasuk forum perdana khas dan persembahan nasyid daripada Kumpulan Hijjaz.

Di SARAWAK, sambutan ambang tahun baharu yang bertemakan “Let’s Celebrate Together” disempurnakan oleh Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg dengan pelbagai pengisian termasuk persembahan pentas, pertunjukan bunga api serta acara kiraan detik tahun baharu.

Di KEDAH, orang ramai memenuhi kawasan Tasik Darulaman di Jitra malam ini bagi menyertai program Ambang Sejahtera 2024 sempena sambutan tahun baharu yang dianjurkan kerajaan negeri.

Di PERAK, kira-kira 10,000 pengunjung pelbagai lapisan masyarakat membanjiri Silverlakes Village Outlet (SVO), Batu Gajah bagi merasai kemeriahan Pelancaran Tahun Melawat Perak 2024 X Sambutan Ambang Tahun Baharu Peringkat Negeri Perak.

Di SABAH, orang ramai mengunjungi Karnival Ambang Tahun Baharu 2024 di Tawau dengan lebih 20 vendor minuman, makanan dan pakaian disediakan untuk pengunjung selain persembahan pentas dan bunga api.

Karnival anjuran Majlis Perbandaran Tawau (MPT) bersama Pertubuhan Pentas Anak Tanjung Sabah (Penata) selama tiga hari berakhir esok itu menyediakan peluang peniagaan kepada belia tempatan dan menjadi platform penyatuan masyarakat sekali gus menjadikan Tawau sebagai daerah dinamik ekonomi.

Di MELAKA, sambutan ambang Tahun Baharu 2024 diadakan bersekali dengan pelancaran Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM 2024) dalam usaha kerajaan negeri merancakkan sektor pelancongan yang terjejas akibat pandemik COVID-19.

Ketua Menteri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh ketika berucap pada majlis itu berkata TMM 24 menyediakan 76 acara pelancongan termasuk 30 acara utama yang diadakan sepanjang tahun hadapan.

Sementara itu, di PERLIS kira-kira 1,000 orang hadir ke majlis sambutan tahun baharu di Dewan 2020, Kangar yang diisi dengan Kempen Jom Solat, Hayya Ala Solah. - BERNAMA

GRACE AISYAH KEDAYAN