fb fb fb fb fb

Akta Pengurusan Sisa Pepejal dijangka berkuat kuasa awal 2026

Program Kemampanan Komuniti Bandar, Karnival Komuniti Madani di PPR Kota Bharu

KOTA BHARU, 23 Ogos – Rang Undang-Undang Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 (Akta 672) yang diluluskan Dewan Rakyat akan dibentangkan di Dewan Negara, dijangka bersidang minggu depan.

Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Aiman Athirah Sabu berkata, sebaik diluluskan Dewan Negara, akta tersebut akan diwartakan dan dijangka dikuatkuasakan pada awal 2026.

“Kita menggalakkan masyarakat mengutamakan kebersihan. Pada masa sama, pindaan Akta 672 memperuntukkan perbuatan membuang sampah sebagai satu kesalahan serius yang boleh dikenakan denda antara RM2,000 hingga RM10,000. Mahkamah juga boleh mengarahkan pesalah melaksanakan khidmat masyarakat,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Program Kemampanan Komuniti Bandar, Karnival Komuniti Madani di Program Perumahan Rakyat (PPR) Kota Bharu, hari ini.

Datuk Aiman Athirah menjelaskan, akta itu akan dikuatkuasakan bersama Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 (Akta 133) serta Akta Kerajaan Tempatan 1976 (Akta 171).

Katanya, langkah berkenaan merupakan usaha besar negara untuk memastikan pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam dilaksanakan dengan lebih berkesan, bersepadu dan mampan.

“Dengan kelulusan ini, saya ingin menegaskan bahawa amalan membuang sampah merata-rata tidak lagi boleh dipandang ringan. Masyarakat harus lebih bertanggungjawab dalam menjaga kebersihan persekitaran,” tegasnya.

HASRON BIN HASSAN