fb fb fb fb fb

Akta Iltizam Kecekapan Kerajaan, kurangkan kerenah birokrasi

Rafizi Ramli

PUTRAJAYA, 27 Ogos- Kerajaan menerusi Kementerian Ekonomi akan melancarkan Akta Iltizam Kecekapan Kerajaan menjelang akhir tahun ini.

Menurut Menteri Ekonomi Rafizi Ramli, dengan akta tersebut, ia membolehkan keseluruhan proses kerajaan diselarikan berkaitan dengan prosedur pengurusan perniagaan.

"Keputusan kerajaan ialah komitmen memudah cara perniagaan. Kita akan mengambil langkah melalui satu akta.

"...dan akta ini akan memberi garis panduan ataupun parameter kepada kerajaan mengenai komitmen kita untuk memudah cara karenah birokrasi," katanya kepada pemberita selepas melancarkan 2024 OECD Economic Surveys Malaysia, di sini.

Menurut Rafizi, cadangan pembentukan akta tersebut telah dibentang di Majlis Tindakan Ekonomi (MTEN) sebanyak dua kali iaitu Mac dan Ogos lalu.

Mengenai OECD Economic Surveys Malaysia, beliau berkata, laporan ekonomi yang dikeluarkan OECD membolehkan Kementerian Ekonomi dan agensi lain melakukan penanda aras dalam sektor tertentu.

Menurutnya, semasa perbincangan awal dengan OECD tahun lepas Kementerian Ekonomi meminta agar dilakukan penelitian mendalam termasuk membandingkan dasar dan amalan di negara lain berkenaan dengan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).

Sementara itu cadangan untuk memperkenalkan semula cukai barangan dan perkhidmatan (GST), Rafizi berkata, dasar ketika ini memberi keyakinan kepada pasaran dan pelabur bahawa kerajaan serius untuk meneruskan tumpuan mengukuhkan fiskal.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI