PORT DICKSON, 8 Jun- Pelaksanaan Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 akan dikuatkuasa bulan ini bagi mengawal ketat penggunaan rokok elektronik.
Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Zulkefly Ahmad berkata, sebarang cadangan lain akan dipertimbangkan mengikut tatacara sedia ada dan harus dibahaskan dalam ruang demokrasi yang matang.
Pengunaan rokok elektronik masih dikawal selia di bawah Akta Makanan 1983 dan Peraturan-peraturan Kawalan Hasil Tembakau 2004.
"Tidak ada undang-undang yang statik, kita akan terus menilai dan mempertimbangkan untuk kita mencapai demi kesihatan awam.
"Kita mempunyai pendirian dan kita sudah ada undang-undang untuk meregulasi atau mengawal selia semua produk rokok termasuk rokok elektronik," katanya kepada pemberita ketika diminta mengulas berkenaan pengharaman rokok elektronik di Malaysia.
Perkara itu berikutan Hong Kong telah mengharamkan penggunaan vape di negara itu.
Terdahulu, beliau mengadakan sesi walkabout premis Bersih Bebas Asap (BeBAs) di persiaran Water Front, di sini.
Semasa sesi berkenaan, kira-kira enam premis makanan diberi pengiktirafan premis Bersih dan Selamat ( BeSS) manakala secara kumulatif di peringkat kebangsaan, sebanyak 11,652 premis.