
KUALA LUMPUR, 27 Februari – Malaysia kini berada di fasa akhir persediaan menjelang pelaksanaan Akta Pekerja Gig 2025 (Akta 872) yang dijadual berkuat kuasa pada penghujung Mac 2026 dan dilihat sebagai langkah besar dalam memperkukuh perlindungan serta kebajikan komuniti pekerja gig di negara ini.
- Akta 872 akan berkuat kuasa pada penghujung Mac 2026 untuk memperkukuh perlindungan pekerja gig.
- Akta ini mengiktiraf peranan penting pekerja gig dalam memacu ekonomi digital negara.
- Kementerian Sumber Manusia mengamalkan pendekatan progresif dan libat urus sistematik bersama pemegang taruh.
- GEM komited menjadi pemantau dan penghubung untuk memastikan pelaksanaan akta efektif.
Ketua Aktivis Gabungan eHailing Malaysia (GEM), Jose Rizal berkata Akta 872 bukan sekadar dokumen perundangan, sebaliknya satu pengiktirafan terhadap peranan signifikan pekerja gig dalam memacu ekonomi digital negara.
Jelas beliau, pelaksanaannya dijangka memperkukuh perlindungan hak, keselamatan sosial serta menyediakan laluan kerjaya yang lebih jelas kepada komuniti berkenaan.
Ujar Rizal, meskipun berlaku pertukaran kepimpinan di Kementerian Sumber Manusia (KESUMA), kesinambungan dasar dan komitmen terhadap agenda pekerja gig kekal utuh.
“Di bawah pimpinan Menteri KESUMA, Ramanan Ramakrishnan, pendekatan yang diambil dilihat lebih progresif dan inklusif “, jelasnya.
Rizal turut menjelaskan pihak kementerian kini giat melaksanakan siri libat urus secara sistematik bersama pelbagai pemegang taruh industri.
Langkah tersebut bertujuan memastikan setiap aspek pelaksanaan Akta 872 mengambil kira pandangan pekerja, pengendali platform serta pihak berkepentingan lain.
“Pendekatan libat urus ini penting bagi memastikan setiap aspek pelaksanaan Akta 872 mengambil kira pandangan semua pihak serta membina ekosistem gig yang lebih tersusun dan seimbang,” jelasnya.
Tambah beliau, GEM turut menyatakan komitmen untuk terus berperanan sebagai pemantau dan penghubung antara pekerja gig dan kerajaan.
“Setiap cadangan, pandangan serta isu yang dibangkitkan komuniti akan terus diketengahkan bagi memastikan pelaksanaan akta berjalan secara efektif,” tambahnya.