fb fb fb fb fb

Akta 283 berkuat kuasa secara rasmi hari ini - KP AADK

Ketua Pengarah Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), Datuk Ruslin Jusoh/BERNAMA

KAJANG, 22 Ogos- Akta Penagih dan Penyalah Guna Dadah dan Bahan (Rawatan dan Pemulihan) 1983 (Akta 283) berkuat kuasa secara rasmi hari ini, setelah diwartakan Jabatan Peguam Negara (AGC).

Ketua Pengarah Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), Datuk Ruslin Jusoh berkata pindaan akta tersebut memperluas bidang kuasa agensi berkenaan, merangkumi aspek rawatan serta penguatkuasaan.

“Hari ini adalah permulaan penguatkuasaan. Hari ini sudah boleh mula kerana akta ini telah pun diwartakan oleh Jabatan Peguam Negara (AGC).

Tetapi, sesi libat urus akan terus dijalankan, termasuk melibatkan pegawai baharu. Insya-Allah, perkara ini tidak menimbulkan sebarang masalah," kata Datuk Ruslin, hari ini.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas menghadiri Majlis Perhimpunan Bulanan AADK, di sini.

Rang Undang-undang (RUU) Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) (Pindaan) 2024 (nama asal sebelum diwartakan) telah diluluskan di Dewan Rakyat pada 18 Julai 2024 dan di Dewan Negara pada 1 Ogos 2024.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM