fb fb fb fb fb

Akmal syukur bertemu Nuan Nuan selepas tujuh tahun pendam rindu

Gelagat Nuan Nuan yang sempat dirakam Akmal

KUALA LUMPUR, 2 Mei- Tujuh tahun memendam rindu, penjaga panda Malaysia Akmal Hadi Samsuddin akhirnya berpeluang bertemu kembali Nuan Nuan, anak panda betina yang dijaganya di Malaysia sebelum ia dihantar pulang ke China pada November 2017.

Akmal Hadi , baru-baru ini mengunjungi Zoo Hidupan Liar, di Nanjing, China, pada 25 April, untuk bertemu Nuan Nuan yang ditempatkan di situ.

Semasa perjumpaan itu, Akmal sangat gembira sambil merakamkan gambar dan video Nuan Nuan yang kemudiannya dikongsinya di laman sosial.

Bukan itu sahaja, Akmal turut membawa anak patung panda kegemaran Nuan Nuan sekali gus menggamit memori ikatan istimewa antara kedua-duanya.

Nuan Nuan, anak pertama pasangan panda gergasi Xing Xing dan Liang Liang, yang tiba di Malaysia pada 2014, membesar bawah jagaan Akmal di Zoo Negara.

Pada 27 April, Akmal turut mengembara ke Taman Panda Gergasi China di Wolong, Sichuan, yang juga dikenali sebagai pangkalan panda gergasi Shenshuping, untuk melawat seekor lagi panda asuhannya iaitu Sheng Yi.

Sheng Yi, yang dilahirkan pada 31 Mei 2021 manakala kakak sulungnya Yi Yi, yang lahir pada 14 Jan 2018, kembali ke China pada Ogos tahun lepas.

Akmal bagaimanapun tidak dapat bertemu Yi Yi kerana panda itu belum boleh menyertai pameran awam sejak kepulangannya dari Malaysia.

Sementara itu, Akmal berkongsi rasa syukur dapat bertemu kembali dan menghilangkan rasa rindu terhadap anak-anak panda kesayangannya.

"Bukanlah harapan saya kesini untuk Nuan Nuan, Yiyi dan Sheng Yi mengingati saya sebagai penjaga mereka sejak lahir dan datang kepada saya bila dipanggil walaupun saya tahu daripada pandangan mata mereka kami tetap satu keluarga.

"Memadailah sekadar saya dapat melihat keadaan terkini mereka yang sangat baik serta mereka ditempakan di kawasan yang sangat selesa serta mendapat jagaan yang baik serta sempurna daripada penjaga-penjaga yang menyayangi mereka seperti mana kami menyayangi Nuan Nuan , Yiyi dan Sheng Yi.

"Besar harapan yang saya bawa dari Malaysia ke China untuk mengeratkan hubungan kekeluargaan antara kami penjaga-penjaga panda Malaysia dan penjaga panda China yang mempunyai tujuan dan matlamat yang sama.

"Terima kasih tidak terhingga kepada semua peminat-peminat panda yang sangat baik hati menyantuni kami sepanjang keberadaan kami di China. Saya sayang panda dan anda semua,"luahnya dalam hantaran tersebut.


Akmal, ketika berada di Taman Panda Gergasi China di Wolong, Sichuan

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE