KUALA LUMPUR, 2 April- Aisah Lamsah dan Pospan Linggam menerima bantuan daripada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Menerusi hantaran di Facebook, Anwar berkata bantuan itu disumbangkan menerusi Setiausaha Politik beliau Ahmad Farhan Fauzi yang meluangkan masa bertemu dengan Aisah Lamsah yang menghidap penyakit lutut kronik di Rantau, Negeri Sembilan hari ini.
"Puan Aisah juga perlu menjaga anaknya, Muhammad Syakhir yang menghidap Spinal Ependymoma atau ketumbuhan tumor di bahagian tulang belakang.
"Penyakit ini membawa pelbagai komplikasi yang memudaratkan dan adik Syakhir memerlukan pembedahan segera.
"Saudara Farhan turut menyampaikan bantuan kepada Puan Aisah bagi pihak saya. Memohon semua untuk sama mengirim doa buat Puan Aisah dan adik Syakhir agar selamat menjalani pembedahan dan kembali sihat seperti sediakala, insya-Allah," katanya.
Sementara itu Pospan Linggam atau lebih dikenali sebagai Puspa yang uzur disebabkan masalah kesihatan turut menerima kunjungan daripada Ahmad Farhan.
"Saudara Puspa merupakan antara individu yang terlibat secara aktif dalam gerakan massa sewaktu gelombang reformasi meledak lewat 1990-an, selain pernah berkhidmat sebagai Ahli Majlis Bandaraya Shah Alam bagi penggal 2010/2011.
"Farhan telah memberikan sedikit bantuan dari pihak saya bagi meringankan beban yang ditanggung. Saya amat berharap ia memberi sedikit kelegaan kepada saudara Puspa dalam menempuh hari mendatang," katanya.