fb fb fb fb fb

AirAsia syarikat penerbangan ke-24 paling bernilai di dunia

AirAsia juga diiktiraf sebagai jenama ketujuh paling bernilai di Malaysia dalam laporan terkini Brand Finance Malaysia 100 2025 / Foto fail Bernama

KUALA LUMPUR, 30 Mei- AirAsia sekali lagi membuktikan kekuatannya sebagai jenama global apabila tersenarai sebagai jenama syarikat penerbangan ke-24 paling bernilai di dunia dan jenama ketujuh paling bernilai di Malaysia.

Menerusi laporan Brand Finance Malaysia 100, 2025 ,nilai jenama AirAsia melonjak 66 peratus kepada 1.93 bilion dolar Amerika, didorong oleh permintaan penumpang yang kukuh, peluasan strategik laluan ke China dan Asia Tengah serta peningkatan kekerapan penerbangan bagi laluan berpermintaan tinggi.

Ketua Pegawai Eksekutif Capital A Bhd, Tan Sri Tony Fernandes, berkata pencapaian itu mencerminkan daya tahan jenama AirAsia dan komitmennya untuk terus relevan terutamanya dalam industri penerbangan.

“Saya amat berbangga dengan pencapaian ini dan pengiktirafan ini membuktikan ketahanan dan kepentingan jenamanya, " katanya.

Pertumbuhan cemerlang itu memperkukuh status AirAsia sebagai syarikat penerbangan tambang rendah terkemuka rantau ini dan penyumbang penting kepada nilai jenama Malaysia di peringkat global.

Menurut Brand Finance, 100 jenama teratas Malaysia secara kolektif mencatatkan pertumbuhan 16% pada  2025, manakala sektor penerbangan menunjukkan peningkatan luar biasa sebanyak 85% dalam nilai jenama dan prestasi syarikat penerbangan ini menonjol kerana keupayaannya menyesuaikan diri dengan trend perjalanan pascapandemik dan memanfaatkan semula momentum pasaran.

Syarikat ini kini turut terlibat dalam sektor lain seperti pelancongan, logistik, fintech dan digital di bawah Capital A, selaras dengan usaha mengukuhkan kehadiran di peringkat serantau dan antarabangsa. 

NORZAINAH ZAINAL ABIDIN