fb fb fb fb fb

Air sungai di hilir Empangan Kenyir akan kembali ke paras normal

KUALA LUMPUR, 29 Mac- Penduduk di sepanjang aliran sungai di hilir Empangan Kenyir boleh meneruskan aktiviti ekonomi seperti sebelum ini memandangkan paras air di lokasi itu dijangka akan meningkat semula bermula hari ini.

Paras air susut berikutan pemberhentian sementara operasi Stesen Janalektrik Sultan Mahmud (SJSM) sejak 27 Februari lalu.

Tenaga Nasional Berhad (TNB) dalam kenyataan memaklumkan, air dari Tasik Kenyir akan mengalir melalui alur limpah Empangan Kenyir, satu proses normal bagi sesebuah empangan untuk mengurangkan paras tasik, bagi memastikan paras air tasik tidak melebihi struktur empangan.

(Aktiviti ekonomi penduduk di sepanjang aliran sungai di hilir Empangan Kenyir boleh diteruskan
/FOTO BERNAMA)

“Pelepasan air secara semulajadi (natural) pada paras 145 meter ini adalah mengikut reka bentuk asal yang jauh lebih rendah daripada paras 153 meter kapasiti maksimum Empangan Kenyir,” menurut kenyataan tersebut.

TNB menasihatkan walaupun peningkatan paras sungai dijangka tidak mendadak, penduduk sekitar perlu sentiasa mengutamakan keselamatan sepanjang pelepasan air ini berlaku.

Operasi SJSM ditutup sementara sejak 27 Februari lalu berikutan menara penghantaran voltan tinggi bagi menyalurkan tenaga elektrik yang dijananya kepada Grid Nasional, tumbang akibat tanah runtuh dalam keadaan hujan lebat luar biasa bermula 25 Februari.

Media Baharu