fb fb fb fb fb

Air masin, kerosakan sistem kawalan di sungai Segaliud dibaiki

(FOTO FB SANDAKANfm)

SANDAKAN, 16 Mei - Sistem kawalan pintu air di sungai Segaliud yang rosak beberapa bulan lepas sehingga menyebabkan bekalan air di Sandakan berasa masin telah dibaiki dan kerja mengepam air dari sungai itu ke empangan Segaliud berjaya dimulakan sejak 10 hari lalu.

Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Shahelmey Yahya berkata selain usaha pembaikan itu, pihak pengendali loji air Segaliud juga telah menambah dua unit pam menjadikan tiga unit pam untuk mengepam air sungai berkenaan ke empangan.

Beliau berkata, ketika ini kadar kemasinan air di daerah Sandakan menunjukan penurunan dan berharap ianya dapat diatasi dengan kadar segera.

(Shahelmy Yahya ketika melakukan tinjaun ke empangan Segaliud di
Sandakan / FOTO FB SANDAKANfm)

"Sejak kunci sungai dan pintu kawalan air sungai itu dibaiki pada Mac lepas, bacaan makmal juga menunjukkan kadar kemasinan air semakin menurun, namun belum mencapai bacaan di bawah 250 bahagian per juta dan dengan kerja pengepaman berterusan itu dijangka dapat mengatasi isu air masin yang sedang melanda Sandakan," katanya kepada pemberita selepas meninjau empangan itu, di sini pada Isnin.

Dalam pada itu, Shahelmey berkata setakat ini tiada catuan air berlaku di daerah berkenaan.

Bagaimanapun, sekiranya fenomena El Nino berlaku, Jabatan Air akan melakukan catuan bagi memastikan semua kawasan menerima bekalan air secara berfasa.

"Bergantung kepada cuaca tetapi sekiranya kedatangan El Nino nanti, mungkin kaedah catuan air diguna pakai untuk pastikan semua kawasan dapat bekalan air," katanya.

Media Baharu