fb fb fb fb fb

Aidilfitri: Bekalan barangan keperluan asas dijamin mencukupi

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu ketika ditemui pemberita pada Majlis Pelancaran Semarak Syawal Peringkat Kebangsaan di Pasar Tani Taman Sri Andalas, Klang Selangor

KLANG, 29 Mac - Kerajaan memberi jaminan bekalan keperluan barangan asas di seluruh negara mencukupi menjelang sambutan Aidilfitri.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, meskipun terdapat beberapa laporan mengenai kekurangan bekalan, namun jumlahnya tidak banyak.

"Saya kata sekarang ini ianya terjamin .. Ada kelompang satu dua itu adalah dan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) akan bertindak segera.

"Lokaliti yang menghadapi masalah seperti itu pihak FAMA akan bertindak segera. Tetapi tidak banyaklah tahun ini aduan. Aduannya amat kurang. Dan semuanya sampai kepada pengguna," kata Mohamad Sabu.

Beliau bercakap pemberita pada Majlis Pelancaran Semarak Syawal Peringkat Kebangsaan di Pasar Tani Taman Sri Andalas, Klang Selangor.

Sementara itu Mohamad Sabu memaklumkan Program Semarak Syawal merekodkan nilai jualan RM16 juta, setakat hari ini.

Program yang berlangsung di 262 lokasi seluruh negara bermula 22 Mac lalu berakhir esok dengan sasaran nilai jualan RM20 juta.

Untuk itu, FAMA akan memastikan pengguna mendapat produk berkualiti dengan harga berpatutan selain memperkukuhkan peranan pasar tani sebagai platform utama bagi petani dan usahawan tempatan.

Selain itu, jualan khas turut melibatkan penyertaan usahawan tempatan, pihak swasta serta agensi kerajaan yang menawarkan Kombo MADANI dan promosi harga istimewa bagi ayam dan santan .

TETITIA YUSOFF