fb fb fb fb fb

Aidiladha : LLM jangka 2.52 juta kenderaan di lebuh raya utama

FOTO FAIL BERNAMA

KUALA LUMPUR, 15 Jun- Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) menjangkakan jumlah purata kenderaan di Lebuhraya Utara-Selatan, Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak dan Lebuhraya Pantai Timur (LPT) 1 dan LPT2 bakal mencecah sehingga 2.52 juta kenderaan menjelang hari puncak sempena Perayaan Hari Raya Aidiladha yang bakal dirayakan pada 17 Jun 2024.

Pertambahan jumlah kenderaan ini dijangka akan berlaku secara berperingkat bermula 14 Jun 2024 sehingga 18 Jun 2024.

Daripada jumlah tersebut, purata trafik di lebuh raya – lebuh raya bawah Kumpulan PLUS Berhad dijangka akan mencapai sehingga 2.2 juta kenderaan manakala di Lebuhraya KL Karak, LPT 1 dan LPT 2 masing-masing mencecah sehingga 181,000, 80,000 dan 60,000 kenderaan setiap hari sepanjang tempoh berkenaan.

Ketua Pengarah LLM, Datuk Ir Sazali Harun menerusi satu kenyataan hari ini memaklumkan, pihaknya telah bersiap sedia sepenuhnya dan mengambil langkah-langkah perlu untuk memastikan kelancaran trafik di lebuh raya dengan mengarahkan syarikat konsesi lebuh raya untuk menghentikan kerja-kerja pembinaan dan penyelenggaraan yang melibatkan penutupan lorong lebuh raya kecuali bagi kes dan kerja kecemasan bermula pada 12 Jun 2024 hingga 19 Jun 2024.

"Sebagai satu usaha bagi mengurangkan kesesakan, LLM dan syarikat konsesi akan mengaktifkan 20 lokasi laluan ‘smart lane’ di lokasi-lokasi yang telah dikenalpasti di Lebuhraya PLUS bermula 14 Jun 2024 sehingga 18 Jun 2024 dan laluan ‘tidal flow’ di Lebuhraya KL- Karak pada 18 Jun 2024.

"Memastikan sistem kutipan tol berfungsi dengan baik bagi mengelakkan kesesakan di plaza tol, selain penambahan lorong tol di beberapa plaza tol yang dikenalpasti mempunyai trafik yang tinggi selain memastikan Syarikat Konsesi menyediakan anggota Emergency Response Team (ERT) yang secukupnya bagi mempercepatkan tempoh tindakan untuk menanganisebarang insiden yang berlaku di lebuh raya.

"Menyediakan kemudahan tambahan bagi tempat letak kereta dan tandas mudah alih di beberapa Kawasan rehat dan rawat (R&R) di sepanjang Lebuhraya Utara Selatan, Lebuhraya KL Karak, Lebuhraya Pantai Timur 1 dan Lebuhraya Pantai Timur 2,"katanya.

Jelas Datuk Ir Sazali, LLM turut meningkatkan bilangan petugas untuk memastikan kebersihan tandas dan memastikan kecukupan bekalan air serta bekalan minyak di stesen-stesen minyak dengan mendapatkan kerjasama daripada pengusaha stesen dan syarikat pembekal minyak demi keselesaan penguna lebuh raya.

Katanya lagi, pihak LLM juga ingin menasihatkan pengguna agar merancang perjalanan dengan merujuk kepada aplikasi MyPLUS-TTA oleh pihak PLUS Berhad bagi perjalanan di Lebuhraya Utara Selatan dan Cadangan Waktu Perjalanan (TTA) oleh pihak Anih Berhad bagi Lebuhraya KL-Karak dan Lebuhraya Pantai Timur Fasa 1.

Selain itu, tambahanya pengguna diminta memastikan kenderaan dalam keadaan baik sebelum memulakan perjalanan selain memastikan baki kad touch and go dan e-wallet adalah mencukupi.

Tambah kenyataan itu lagi, pengguna yang melalui jajaran yang terlibat dengan pengaktifan ‘smart lane’ boleh menggunakan bahu jalan sebagai laluan alternatif ketika berlaku kesesakan dan dinasihatkan mematuhi papan tanda lalu lintas yang disediakan.

Manakala bagi penunggang motosikal, dinasihatkan supaya berhati-hati jika menggunakan lorong kecemasan di lebuh raya dan berteduh di tempat berteduh penunggang motosikal (motorcycle shelter) yang telah disediakan semasa cuaca buruk.

Pengguna boleh mendapatkan status semasa trafik lebuh raya atau sebarang insiden di lebuhraya melalui media sosial rasmi LLM dan Syarikat Konsesi seperti di Facebook rasmi Lembaga Lebuhraya Malaysia, aplikasi X @llmtrafik serta tiktok @llmtrafik atau hubungi Pusat Pengurusan Trafik, LLM di talian hotline 1 – 800 – 88 – 7752.

Bagi mendapatkan maklumat keadaan trafik semasa melalui paparan CCTV di semua lebuh raya, pengguna boleh melayari laman sesawang LLM di http://www.llm.gov.my.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE