LABUAN, 12 April- Inisiatif MCMC-Microsoft AI Teach menjadi salah satu usaha strategik kerajaan dalam memperkukuh literasi dan kemahiran teknologi rakyat, khususnya dalam bidang kecerdasan buatan (AI).
Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Labuan, Mohd Sukuran Taib berkata, program tersebut menyokong agenda digital negara dan selari dengan visi Pelan Tindakan Bandar Pintar Labuan 2030.
Menurut beliau, usaha memperluas akses kepada teknologi AI mampu memperkasa komuniti dengan pengetahuan dan kemahiran digital yang relevan untuk menghadapi landskap ekonomi masa depan.
βIa bukan sahaja meningkatkan kebolehpasaran tenaga kerja tempatan, malah menyediakan platform pembelajaran teknologi terkini yang amat diperlukan dalam sektor ekonomi digital,β katanya.
Beliau berkata demikian semasa merasmikan program tersebut di Bilik Seminar Universiti Malaysia Sabah Kampus Antarabangsa Labuan (UMSKAL).
Turut hadir, Pengarah MCMC Wilayah Persekutuan, Faisal Hamdi Mohammed Ghouth dan Pengarah UMSKAL, Prof. Madya Dr. Mohamad Rizal Abdul Hamid.
Program anjuran bersama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dan Microsoft itu melibatkan penyertaan seramai 250 peserta dari empat lokasi sekitar Labuan, termasuk UMSKAL, Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI), dan Pusat Teknologi Pendidikan Labuan.