Ahmad Samsuri dilantik Pengerusi PN baharu

Ahmad Samsuri dilantik Pengerusi PN baharu./BERNAMA

KUALA LUMPUR, 22 Februari – Naib Presiden PAS Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dilantik sebagai Pengerusi Perikatan Nasional (PN) yang baharu susulan peletakan jawatan Presiden Bersatu Tan Sri Muhyiddin Yassin lebih sebulan lepas.

RINGKASAN BERITA AI
  • Takiyuddin Hassan umum pelantikan Ahmad Samsuri sebagai Pengerusi PN selepas Mesyuarat Luar Biasa MT di ibu pejabat PAS.
  • Mesyuarat meluluskan peletakan jawatan Muhyiddin sebagai Pengerusi PN berkuat kuasa 1 Jan 2026.
  • Isu pengisian jawatan ketua pembangkang Parlimen bagi menggantikan Hamzah Zainudin masih dibincangkan.
  • Parti komponen bersetuju jawatan ketua pembangkang dipegang PAS, namun keputusan akhir belum dibuat.

Timbalan Setiausaha Agung PN Datuk Seri Takiyuddin Hassan mengumumkan perkara itu dalam sidang media selepas Mesyuarat Luar Biasa Majlis Tertinggi (MT) gabungan berkenaan di ibu pejabat PAS di sini hari ini.

“Mesyuarat juga meluluskan peletakan jawatan Tan Sri Muhyiddin Yassin selaku Pengerusi PN berkuat kuasa 1 Jan 2026,” katanya.

Dalam pada itu, Takiyuddin yang juga Setiausaha Agung PAS berkata isu kedudukan ketua pembangkang baharu di Parlimen bagi menggantikan Datuk Seri Hamzah Zainudin yang dipecat daripada Bersatu masih dalam perbincangan.

Beliau berkata perkara itu ada dibangkitkan dalam mesyuarat berkenaan dengan parti-parti komponen bersetuju supaya jawatan ketua pembangkang dipegang PAS.

“… tapi belum ada keputusan lagi kerana PAS memerlukan sedikit masa untuk meneliti perkara ini,” katanya.- BERNAMA